RAIHANAH Abu Bakar membuat demonstrasi  cara menggunakan   Interactive Facing Kiosk Terminal, semalam.
RAIHANAH Abu Bakar membuat demonstrasi cara menggunakan Interactive Facing Kiosk Terminal, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


SHAH ALAM: Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic Malaysia) memperkenalkan penyelesaian terbarunya iaitu Interactive Facing Kiosk Terminal yang membantu perniagaan untuk berhubung dengan pelanggan di lokasi lain melalui ciri perkhidmatan dan komunikasi interaktif berkualiti tinggi.

Untuk peringkat awal, Panasonic Malaysia menjalin kerjasama dengan syarikat agensi pelancongan dari Jepun iaitu Japan Travel Bureau (Malaysia) Sdn Bhd (JTB Malaysia) bagi mengguna pakai penyelesaian itu sebelum ia diperluaskan kepada syarikat lain pada masa depan.

Penasihat Sistem Penyelesaian dan Pengurus Bahagian Perancangan dan Pemasaran Penyelesaian Panasonic Malaysia, Shota Sato berkata, penyelesaian itu adalah pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik dan pertama kali digunakan oleh pemain dalam industri pelancongan di negara ini.

“Kami merancang untuk memperluas lagi penggunaan penyelesaian ini bukan saja dalam sektor pelancongan, malah sektor lain di Malaysia dan negara lain pada masa depan selepas pelaksanaan projek rintis dengan JTB Malaysia ini,” katanya pada pelancaran Interactive Facing Kiosk Terminal, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar dan Ketua Negara Sistem Penyelesaian Panasonic Malaysia iaitu Seelan Kandasamy dan Pengarah Urusan JTB Malaysia, Masakatsu Otani.

JTB Malaysia menjadi syarikat pertama yang menggunakan penyelesaian itu di mana ia membolehkan pelanggan berinteraksi dengan kakitangan khidmat pelanggan di Jepun bagi mendapatkan maklumat pada masa sebenar yang disalurkan kakitangan sokongan pelbagai bahasa JTB Corp di sana.

Sementara itu, Masakatsu berkata, penghasilan penyelesaian yang dibangunkan Panasonic Malaysia itu tercetus apabila JTB Malaysia berhadapan dengan kesukaran bagi memberikan perkhidmatan kepada pelanggan terutama pada waktu puncak.

Menurutnya, penyelesaian itu dijangka mampu untuk mengurangkan masa menunggu, sekali gus dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan pelanggan di cawangan salon pelancongan JTB Malaysia yang terletak di Shah Alam, Selangor.

“Kios hasil usahasama JTB dan Panasonic ini akan menghubungkan pelanggan di Malaysia bagi urusan seperti pertanyaan dan tempahan tiket secara terus dan interaktif melalui khidmat nasihat serta bantuan daripada kakitangan khidmat pelanggan kami di Jepun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 4:29 AM