SULAIMAN (tengah) bersama Schiesser (kiri) dan Raja Teh Maimunah melancarkan produk DMS, semalam.
SULAIMAN (tengah) bersama Schiesser (kiri) dan Raja Teh Maimunah melancarkan produk DMS, semalam.
Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: AmBank (M) Bhd (AmBank) berharap kerajaan dapat memberi dasar serta hala tuju lebih jelas dalam pembentangan Bajet 2019 pada 2 November depan sebagai usaha mengukuhkan keyakinan pelabur dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, pihaknya yakin dengan penekanan terhadap sektor pengguna, kesihatan dan pendidikan, ia mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menarik lebih banyak pelabur.

Beliau berkata, apa yang penting adalah Bajet 2019 berupaya memacu komuniti perniagaan seterusnya mewujudkan limpahan manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Kami berharap Bajet 2019 mengetengahkan komponen dasar serta hala tuju jelas kerana ia penting kepada semua pihak berkepentingan khususnya mengenai perbelanjaan kerajaan pada tahun depan.

“Dari sudut perniagaan, bajet kali ini juga penting kerana ia adalah penentu sektor mana yang akan memperoleh manfaat dan membantu menambah baik kehidupan rakyat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kaedah Pembayaran Dagangan Terus (DMS) oleh AmBank dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser dan Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan AmBank, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz.

Sulaiman berkata, berkenaan bajet defisit, kerajaan juga perlu mengambil perhatian terhadap kadar defisit yang bakal dihadapi dengan mengambil kira hasil kerajaan dengan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan semula itu.

“Oleh itu hala tuju yang jelas adalah amat penting kerana ia akhirnya perlu memberi manfaat untuk rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, majlis berkenaan menyaksikan PayNet melantik AmBank sebagai bank pengurusan tunai bagi perkhidmatan DMS menerusi sistem Pembayaran dan Penyampaian Invois Elektronik (EIPP) AmBank.

Sulaiman berkata, DMS membolehkan PayNet untuk menguruskan sistem pembayaran Pemeroleh Pihak Ketiga (TPA) kepada peniaga dan pada masa sama meningkatkan kecekapan proses kutipan bayaran peniaga.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan PayNet menerusi penyelesaian perbankan korporat AmBank dengan DMS bagi menyediakan transaksi yang lebih selamat dan yakin kepada pengguna,” katanya.

Selain itu, ia juga adalah untuk memastikan keyakinan orang ramai dalam ekosistem pembayaran dalam talian FPX dan MyDebit supaya pembayaran tepat terus kepada peniaga.

Antara TPA yang berada di bawah DMS termasuklah ManagePay Services Sdn Bhd, MOLPAY Sdn Bhd, Revenue Harvest Sdn Bhd, Ipay88 Sdn Bhd, GHL CardPay Sdn Bhd dan GHL ePayments Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 8:07 AM