MUHD Firdaus (kiri) melancarkan GMS di PJ Trade Centre, semalam.
MUHD Firdaus (kiri) melancarkan GMS di PJ Trade Centre, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

PETALING JAYA: Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) akan memberi tumpuan terhadap pembangunan keusahawanan terutama mereka dalam golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, cara membantu meningkatkan pendapatan B40 adalah melalui keusahawanan.

Katanya, sebagai agensi yang memfokus kepada program latihan pembangunan keusahawanan, INSKEN berada di landasan tepat menawarkan pelbagai inisiatif sekali gus memberi bimbingan kepada usahawan di seluruh negara.

“Sejak 2015, INSKEN berjaya melatih 28,330 usahawan tempatan menerusi 1,109 program latihan pembangunan usahawan yang diadakan di seluruh negara.

“Setakat 2017, INSKEN mendapati 325 daripada 500 syarikat yang mengikuti program latihan kami berjaya meningkatkan pendapatan sehingga 10 peratus.

“INSKEN menyediakan sembilan program yang membantu usahawan dalam pelbagai industri dan kami akan menambah program bersesuaian dengan keperluan usahawan,” katanya selepas prapelancaran Persidangan Kemuncak Pemasaran Global (GMS) di sini, semalam.

Muhd Firdaus berkata, program INSKEN yang lebih khusus dan spesifik tahun ini dapat mengubah prestasi usahawan menerusi sesi pementoran perseorangan mengikut industri.

“Cara ini lebih dekat untuk usahawan dan mentor mengenal pasti masalah perniagaan dan terus menyelesaikannya dalam tempoh singkat. Terbaru, kami mencari mentor yang sanggup berkongsi dan mengajar selok-belok memperkasakan sektor perniagaan trak makanan,” katanya.

Beliau berkata, berikutan kejayaan penganjuran GMS tahun lalu, pihaknya sekali lagi menganjurkan GMS 2018 untuk usahawan tempatan yang berminat melonjakkan perniagaan mereka sekali gus kekal menerajui pasaran.

GMS 2018 akan berlangsung 8 November ini di Grand Hyatt dan sehingga kini, lebih 800 peserta akan mengambil bahagian.

Antara penceramah jemputan yang bakal hadir ialah Rob Craven (Penasihat Jualan Microsoft dan Airbus), Vinita Bali (mantan Pengarah Pemasaran Coca-cola dan Cadbury), Ashraf Sinclair (pelakon dan pemilik TGI Fridays Indonesia) dan Neelofa (Pengasas Naelofar Hijab).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 4:30 AM
Digital NSTP Subscribe