Kuala Lumpur: Belanjawan pertama yang diumumkan kerajaan semasa di bawah Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini menerima reaksi bercampur-campur daripada orang awam terutama kumpulan pendapatan M40 dan T20 peringkat bawah yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Kumpulan ini mendakwa Belanjawan 2019 tidak begitu inklusif dan tidak mendukung agenda kesaksamaan dalam menyalurkan subsidi kerana hanya tertumpu kepada kesejahteraan kumpulan B40 saja.

Ini kerana kumpulan M40 mempunyai pendapatan boleh guna yang sangat minimum berikutan kenaikan kos sara hidup di bandar besar tidak selari dengan kenaikan pendapatan yang sangat perlahan.

Pensyarah Kanan Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, agihan insentif untuk B40, M40 dan T20 perlu diperhalusi lagi supaya insentif berkenaan tertumpu kepada pendapatan boleh guna untuk setiap golongan.

“Ini kerana, setiap golongan akan mengalami situasi yang berbeza kerana bergantung kepada lokasi seperti negeri dan juga bandar atau luar bandar.

“Sebagai contoh golongan M40 di Kelantan mungkin memperoleh pendapatan boleh guna yang tinggi kerana kos sara hidup di sana adalah rendah, berbanding golongan M40 di Kuala Lumpur yang mungkin langsung tidak ada pendapatan boleh guna kerana pendapatan isi rumah menyamai perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Ahmed Razman berkata, setakat ini dalam Belanjawan 2019, insentif kepada M40 dan T20 hanya berbentuk pengecualian cukai untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan insurans yang dinaikkan dari RM6,000 kepada RM7,000.

“Insentif ini masih tidak cukup terutama kepada golongan M40 di bandar. Apa yang kerajaan boleh lakukan ialah dengan memastikan golongan ini tidak dibebani dengan hutang yang melampau dan mengawal kos barangan dan perkhidmatan supaya ia tidak membebankan pengguna.

“Usaha yang perlu dipergiatkan ketika ini adalah kempen tidak berhutang dan aplikasi Price Catcher yang disebut dalam Belanjawan 2019 harus dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Kerajaan memperuntukkan RM314.5 bilion dalam Belanjawan 2019, berbanding RM290.4 bilion dalam Belanjawan 2018 dengan RM259.8 bilion sebagai belanja mengurus dan RM54.7 bilion perbelanjaan pembangunan.

Bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’, belanjawan kali ini mencakupi tiga fokus dengan 12 strategi bagi mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 1:01 PM