BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat memperluas skim Sewa Untuk Milik (RTO) kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) bagi hartanah milik kerajaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah ini akan membantu mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah yang mengalami kesukaran dalam mendapatkan pinjaman perumahan.

“Pada masa ini kerajaan mempunyai Rumah Transit (untuk memenuhi keperluan mereka) dan apabila mereka melepasi kategori B40, mereka boleh mencari hartanah yang mampu dimiliki,” katanya selepas majlis makan malam tahunan Pesatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di sini, kelmarin.

Selain RTO, menurutnya, mereka juga boleh mencari hartanah berharga RM160,000 dan ke bawah.

Terdahulu, Zuraida berkata, Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan akan berlangsung selama enam bulan tahun depan untuk membantu mengurangkan jumlah lambakan hartanah kediaman tidak terjual, khususnya yang berharga antara RM300,000 dan RM500,000.

“Kempen ini akan diadakan di Kuala Lumpur dan rumah di seluruh negara akan dijual dalam tempoh berkenaan namun jika kempen itu perlu diadakan di negeri lain, kita akan pertimbangkan. Kita berharap dapat memulakannya pada Januari 2019,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 4:30 AM