Majlis pelancaran portal Maxis eKelas di Menara Maxis.
Majlis pelancaran portal Maxis eKelas di Menara Maxis.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis), penyedia perkhidmatan komunikasi dan Internet melancarkan eCikgu, ciri baru dalam Portal eKelas sebagai usaha untuk mewujudkan pembelajaran digital berinteraktif untuk komuniti luar bandar di seluruh negara.

Pelancaran ciri baru itu membolehkan pelajar berhubung dengan guru melalui forum perbincangan dan menggalakkan pembabitan yang lebih besar bersama guru.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Robert Nason berkata, sebagai pemangkin kepada sektor digital, pihaknya berbangga dapat menyediakan pelajar eKelas dengan kaedah pembelajaran lebih interaktif bersama rakan dan guru berpengalaman.

Menurutnya, ciri seperti eCikgu adalah instrumen penting dan adalah sebahagian daripada keinginan pihaknya untuk membantu membentuk pelajar menjadi warga digital yang lebih berpengetahuan.

“Ia juga menunjukkan perjalanan eKelas yang berkembang sejak dilancarkan dua tahun lalu dan kami komited untuk memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada negara melalui pembelajaran digital supaya pelajar dari komuniti luar bandar di dapat memanfaatkan kuasa teknologi,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Ciri baru eCikgu itu dilancarkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith pada majlis penutupan eKelas Holiday Camp 2018 baru-baru ini.

Pada majlis terbabit, Eddin berkata, teknologi dan Internet mengubah cara masyarakat berkomunikasi dan mengakses maklumat terutama dalam kalangan generasi muda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 12:20 PM
Digital NSTP Subscribe