Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya

Sunway Lagoon Sdn Bhd, pengendali taman tema terkemuka, Sunway Lagoon optimis mampu mencatatkan prestasi lebih baik terutama daripada aspek jumlah pengunjung menjelang tahun depan.

Penolong Pengurus Besar Sunway Lagoon, Magendran Marimuthu berkata, pada masa ini taman tema itu sudah menarik seramai 1.3 juta pengunjung dan angka itu mungkin bertambah sehingga hujung tahun ini berikutan musim persekolahan yang masih berbaki tiga minggu lagi.

“Kami jangkakan angka kunjungan mungkin melebihi 1.3 juta untuk tahun ini dan untuk tahun depan, kami menyasarkan untuk menarik 1.5 juta pengunjung,” katanya pada media ketika program tanggungjawab sosial (CSR) Sunway Lagoon School’s Out! di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran jumlah pengunjung terbabit pada tahun depan melalui pelbagai perancangan yang bakal dilaksanakan sepanjang 12 bulan akan datang.

“Kami melihat pasport Sunway Lagoon iaitu pas tahunan yang diperkenalkan bagi membolehkan pelancong mengunjungi taman tema terbabit lebih daripada sekali akan menjadi daya penarik khusus kepada pelancong tempatan.

“Untuk pelancong luar, kami merancang untuk mempromosikan lagi taman tema Sunway Lagoon ini kepada pelancong dari Vietnam, Singapura, Indonesia dan Filipina bagi meningkatkan jumlah kunjungan mereka di samping pelancong utama kami iaitu dari Timur Tengah dan India,” katanya.

Sementara itu, Sunway Lagoon mengadakan program CSR bagi meraikan 200 kanak-kanak dari lima rumah kebajikan.

Lima rumah kebajikan terbabit adalah Sri Pandian Home, Rumah Kebajikan Darul Ehsan, Rumah Amal Al Firdaus, Agathians Shelter, dan Rumah Kanak-Kanak Angels.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 5:12 PM