Wang (dua dari kiri) dan Elias bertukar dokumen disaksikan Zohari (tengah) selepas menandatangani MoU antara CIDB IBS Sdn Bhd dan SANY Construction Industry Development (M) Sdn Bhd, semalam.
Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) merancang memperkenalkan program pembangunan vendor (VDP) membabitkan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) tahun depan dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, pelaksanaan VDP itu sebahagian daripada usaha CIDB untuk menambah baik ekosistem IBS di Malaysia selain arahan kerajaan yang mahukan penggunaan IBS sebagai mandatori bermula 2020.

Susulan itu, katanya, bagi membolehkan perkara itu berjalan baik, CIDB perlu mengukuhkan ekosistem IBS dengan tumpuan kepada pemasang (installer), vendor dan pengeluar.

“Kini, fokus kami terhadap pemasang dan latihan am untuk kontraktor bagi mendedahkan mereka kepada IBS, tetapi apa yang kami ingin laksanakan pada masa depan adalah untuk memiliki VDP pada 2019.

“Kami merancang dengan Kementerian Kerja Raya untuk membantu kerajaan menyumbang pembinaan rumah dan menerusinya kami mahu ada VDP tersusun bagi menyokong inisiatif ini,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara CIDB IBS Sdn Bhd dan SANY Construction Industry Development (M) Sdn Bhd di sini, semalam.

CIDB IBS diwakili Timbalan Pengerusinya, Datuk Ir Elias Ismail manakala SANY Construction Industry Development oleh Pengarah Urusannya, Wang Zhenyi. MoU itu disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob.

Hadir sama, Naib Presiden Kanan SANY Group Company Ltd, Mao Zhongwu.

Mengulas mengenai MoU itu, Ahmad Asri berkata, ia kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam membangunkan IBS termasuk menawarkan latihan dan kepakaran.

“Kami harap selepas ini apabila SANY mendapat projek, mereka menggunakan pemasang yang dilatih akademi kami ke dalam projek mereka dan seterusnya pemasang kami dipilih secara tetap sebagai vendor di dalam sistem SANY.

“Sebelum kerjasama ini dimeterai, kami menghantar 12 pelatih dari enam akademi kami ke kilang SANY di China dan maklum balas diterima mengatakan syarikat itu memiliki keupayaan terbaik di dalam IBS dan pembangunan dan penyelidikan (R&D).

“Justeru, menerusi kerjasama ini, selain memberi tumpuan utama kepada IBS untuk membangunkan pekerja, pemasang serta vendor dan usahawan, pada masa sama kami melihat gambaran lebih besar dari segi kerjasama dengan mereka dalam R&D,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 11:05 AM