AMMAR (dua dari kiri) bersama kakitangannya di agensinya di Taman Sungai Besi Indah.
Hazwan Faisal Mohamad

KUALA LUMPUR: Penyedia pakej pelancongan, ARBA Travel & Tours Sdn Bhd menyasarkan jualan RM100 juta menjelang 2020 bersandarkan prestasi semasanya yang memberangsangkan.

Pengarah Urusannya, Ammar Roslizar berkata, ia susulan kejayaan syarikat itu merekodkan jualan lebih dua kali ganda pada tahun ini berbanding tahun lalu dan menyasarkan sasaran sama untuk tahun 2019.

Selain itu, katanya, kejayaan membuka satu lagi cawangan pejabat baharunya di Istanbul, Turki, baru-baru ini dijangka turut mampu meningkatkan sumbangan jualan kepada syarikat bagi tahun depan.

Selain Istanbul, ARBA Travel mempunyai tiga pejabat dengan dua di Malaysia iaitu masing-masing di Kuala Lumpur dan Sabah manakala satu lagi di Seoul, Korea Selatan.

“Syarikat kini dalam perancangan untuk membuka satu lagi cawangan baharu di Jakarta, Indonesia dan sedang meninjau rakan niaga berpotensi di negara itu.

“Kami berdepan cabaran untuk mendapatkan rakan yang tepat yang berkeupayaan melaksanakan kerja dengan baik dan mampu mencapai standard ditetapkan syarikat. Namun, kita harapkan ia akan dapat dimuktamadkan secepat mungkin pada tahun depan,” katanya kepada Bisnes NSTP ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Ammar yang terpilih sebagai finalis Usahawan Terbaik Tahunan Ernst & Young (EY) kategori Baru Muncul baru-baru ini berkata, pihaknya mahu mengambangkan operasi perniagaan ke luar negara secara agresif pada tahun depan.

Selain meningkatkan pendapatan syarikat, Ammar berkata, ia juga bertujuan memindahkan sebahagian risiko perniagaan sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan di dalam negara seperti kemerosotan ekonomi.

Ditanya mengenai kesan pelaksanaan levi pelepasan bagi semua penumpang udara yang ke luar negara bermula Jun tahun depan, beliau berkata, perkara itu sememangnya akan memberi impak kepada industri.

Namun katanya, mood dan trend pelancong pada masa kini semakin menarik dan pihaknya akan membuat keputusan yang mengambil kira kepentingan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 10:30 AM