RCPS-i memberikan peluang kepada TH untuk mengambil semula aset berkenaan sekiranya pulangan pelaburan kembali menguntungkan. FOTO Saddam Yusofff
Mohd Zaky Zainuddin dan Alzahrin Alias

KUALA LUMPUR: Langkah Lembaga Tabung Haji (TH) memindahkan aset yang tidak menguntungkan kepada syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd (Urusharta) penting bagi memulihkan pulangan pelaburan, usaha yang dilihat sukar jika dijual kepada syarikat biasa.

Penganalisis Ekonomi dan Pengarah Projek Strategik UniKL, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tidak banyak atau langsung tiada syarikat yang mahu membeli pelaburan tidak menguntungkan.

Justeru, katanya, SPV yang ditubuhkan di bawah MOF diwujudkan untuk membaik pulih aset pelaburan berkenaan melalui Sukuk dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) yang memberikan pulangan sekitar 2.5 hingga lima peratus sekiranya berjaya dipulihkan.

“Tambahan lagi, RCPS-i memberikan peluang kepada TH untuk mengambil semula aset berkenaan sekiranya pulangan pelaburan kembali menguntungkan. Kesimpulannya, saya tidak nampak perpindahan aset daripada TH ke SPV akan merugikan TH malah untuk jangka masa panjang, ia akan menguntungkan.

“Peluang harus diberikan kepada pengurusan baharu TH untuk menyusun semula kewangan mereka untuk kebaikan jangka masa panjang,” katanya.

Aimi berkata, TH juga dijangka tetap meneruskan pelaburan mereka secara strategik kerana badan pengurusan jemaah haji itu perlu memberikan pulangan yang menguntungkan terutamanya bagi subsidi kos tahunan haji.

Walaupun begitu, katanya, agenda pelaburan yang dijalankan haruslah berlaku ke atas projek yang menguntungkan, strategik, patuh syariah dan bukannya melabur atas kepentingan politik.

Pakar pelaburan, Dr Zaharuddin Abd Rahman pula berkata, ia bakal membolehkan TH mendapat keuntungan dari pegangan sukuk sebanyak lima peratus setahun berbanding terjerat dengan aset tidak menguntungkan serta merosakkan tanggungan liabiliti dengan membesarkan jumlah rosot nilai dalam laporan kewangannya.

Beliau berkata, ia juga bagi memastikan TH berupaya memberikan dividen kepada pendeposit kerana tanpa pemindahan melalui terbitan dua instrumen patuh syariah itu, TH akan dikira dalam keadaan defisit dengan liabilitinya melebihi aset.

“Justeru, ia tidak boleh membayar dividen berdasarkan akta TH. Adalah hal biasa SPV bertindak bagi tujuan spesifik memegang aset kerajaan atau institusi kerajaan.

“Dulu pun kerajaan memulihkan pinjaman tidak berbayar (NPL) melalui Danaharta Nasional Bhd yang berfungsi seperti SPV pada waktu itu. Kini model yang digunakan dan dibentuk di bawah Kementerian Kewangan (MOF) bagi mengambil aset dengan bayaran sukuk dan RCPS-i sebagai balasan kepada TH,” katanya. “Juga aset di bawah di bawah MOF itu tidak sama sekali bererti ia dimiliki oleh Menteri Kewangan, Timbalannya atau mana-mana individu politik, tetapi ia adalah dipegang oleh kerajaan sendiri. Mungkin menjadi sebahagian GLC pada masa akan datang juga,” katanya.

Dr Zaharuddin yang juga Profesor Adjung Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Selangor (UNISEL) berkata, tidak timbul isu Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) bakal merampas aset itu kerana ia mendukung agenda kerajaan dan berbeza dengan syarikat pelaburan lain yang mengejar keuntungan.

Namun begitu, beliau menjelaskan, jika SPV di bawah MOF inc itu dijual kepada pihak ketiga, ia masih memerlukan kelulusan kerajaan dan bukannya keputusan individu, khususnya jika aset terbabit adalah aset strategik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 12:00 PM