BRYAN Loo. FOTO Eizairi Shamsudin
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Tealive, jenama minuman teh tempatan di bawah kendalian Loob Holding Sdn Bhd merancang untuk membuka 20 cawangan di China menjelang Jun 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo berkata, usaha memperluas kehadiran jenama minuman itu di negara berkenaan adalah untuk menawarkan pilihan baharu dengan minuman dengan cita rasa Malaysia.

Beliau berkata, ia juga adalah sejajar dengan sasarannya untuk membuka 500 cawangan Tealive di China bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran global.

“Lebih banyak cawangan akan dibuka di Shanghai dan pada masa ini kami teruja melihat sambutan menggalakkan yang diterima sejak pembukaan cawangan pertama pada November lalu.

“Kami juga memperkenalkan minuman Tealive yang direka khusus untuk pasaran ini termasuk minuman panas ketika musim sejuk,” katanya dalam kenyataan.

Tealive membuka cawangan pertamanya di SML Centre iaitu di Jalan Huangpu, Shanghai yang menawarkan pelbagai pilihan minuman teh, teh susu dan teh perisa buah-buahan.

Loo berkata, China adalah pasaran keempat terbesar Tealive bagi segmen luar negara yang mana pihaknya menyediakan pilihan menu terbaik dari Asia Tenggara seperti durian, cempedak, gula Melaka, halia Bentong dan teh Sabah.

Pada awal tahun lalu, Loob memeterai perjanjian usaha sama dengan dua syarikat dari China, Zhejian Boduo International Trade Co Ltd dan Shanghai Panfei International Trade Co Ltd bagi membuka 500 cawangan Tealive dalam tempoh tiga tahun.

Tambahnya, untuk pasaran Malaysia, Tealive ketika ini mempunyai 200 cawangan dengan 2.5 juta pembeli setiap bulan.

“Bagi operasi di Vietnam, kami mempunyai enam cawangan dan pada 2018 juga kami melantik pemegang francais induk di India dengan sasaran 200 cawangan dalam masa lima tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 10:34 AM