GAMBAR hiasan.Iqmal Haqim Rosman
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Harga hartanah dijangka terus mengalami trend menurun bagi 2019 untuk tempoh sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama tahun ini meskipun berlaku peningkatan sentimen pengguna dan pengumuman dasar kerajaan yang proaktif dalam Belanjawan 2019 lalu.

Ia dibuktikan melalui Indeks PropertyGuru (analisis lebih 250,000 penyenaraian hartanah yang dikumpulkan dan diindekskan) yang menunjukkan pertanyaan harga bagi rumah di Malaysia terus menunjukkan penurunan 2.3 peratus daripada tahun ke tahun.

Ia juga dikatakan sebagai masa sesuai untuk pembeli memiliki rumah.

Mengambil peluang daripada situasi ini, portal atas talian PropertyGuru yang memiliki lebih daripada 1.3 juta rakyat Malaysia yang mencari hartanah menyaksikan peningkatan minat terhadap lokasi panas hartanah yang dikenal pasti di beberapa negeri seperti Kuala Lumpur dan Selangor.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, permintaan hartanah di Kuala Lumpur masih kukuh meskipun terdapat penurunan dalam pertanyaan harga dengan kawasan paling banyak dicari dan popular adalah Bangsar, Mont Kiara dan Cheras.

Jenis hartanah yang paling dicari di kawasan ini adalah kondominium, pangsapuri dan townhouse dan faktor rumah bertingkat menjadi jenis hartanah paling digemari di Kuala Lumpur disebabkan harga yang lebih berpatutan.

Daripada aspek lingkungan harga, ramai individu yang mencari hartanah di dalam lingkungan harga bawah RM300,000 di mana ia tidak sepadan untuk lokasi yang disukai kerana kebanyakan daripada hartanah di lokasi ini memiliki harga di atas julat kemampuan.

“Terdapat ketidaksesuaian ketara antara apa yang dikehendaki dan apa yang sebenarnya mampu dicapai. Oleh itu, salah satu cara terbaik untuk memeriksa apa yang boleh dicapai adalah dengan menggunakan PropertyGuru Mortgage Pre-Qualifier,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, permintaan tehadap hartanah di Selangor terus meningkat meskipun berlaku penurunan harga dengan hartanah di Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya menjadi lokasi teratas dalam senarai pencarian hartanah di Selangor.

Hartanah paling banyak dicari di kawasan ini adalah kondominium, pangsapuri dan rumah teres dua tingkat dengan ramai individiu meninjau hartanah di kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

“Terdapat peningkatan kukuh dalam permintaan untuk hartanah di lokasi strategik atau yang dihubungkan secara langsung dengan laluan Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

“Faktor lain seperti penyelenggaraan hartanah dan kemudahan gaya hidup akan memainkan peranan bagi pembeli untuk menentukan sama ada ia pilihan sesuai berikutan pembeli ditawarkan dengan pilihan dalam pasaran yang tepu dengan bekalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 12:30 PM