Hazwan Faisal Mohamad


CYBERJAYA: Malaysia berada dalam landasan untuk menjadi pengeluar sel bateri ion litium bagi kegunaan kenderaan elektrik pertama di rantau ini dengan pengeluaran dijangka dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Madani Sahari berkata, ketika ini kajian kebolehlaksanaan mengenai bateri ini dijalankan bersama syarikat senaraian awam tempatan dan dijangka selesai dalam tiga bulan ini.

Beliau berkata, selepas itu, syarikat berkenaan akan membangunkan kilang pengeluaran bateri ion litium dalam tempoh 12 bulan sebelum pengeluaran pertama bateri itu dijalankan.

Katanya, sel bateri yang mahu dikeluarkan itu akan mempunyai saiz sama dengan yang digunakan syarikat automotif Tesla iaitu jenis 18650 (18 milimeter (mm) x 65 mm).

“Saya tidak boleh mendedahkan syarikat apa yang terbabit dengan projek ini, namun mereka sudah bersama dengan kami untuk satu tempoh yang lama. Idea keseluruhannya ialah untuk menjadikan Malaysia hab pengeluar bateri ion litium.

“Ini kerana pengeluaran bateri ini bukan saja penting untuk kegunaan bas atau kereta elektrik, tetapi penting sebagai storan simpanan tenaga. Ketika ini, ada banyak tenaga solar di Malaysia bagaimanapun tiada tempat khusus untuk menyimpan tenaga ini.

“Bateri asid plumbum yang digunakan dalam kereta pada masa ini tidak sesuai dijadikan storan simpanan tenaga kerana ia tidak boleh menyimpan tenaga. Justeru, hanya bateri ion litium dilihat paling sesuai,” katanya selepas taklimat industri automotif 2018 dan pencerahan serta penyesuaian teknologi bagi 2019 di MARii di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 4:00 AM