ORANG ramai melihat model terbaru Perodua Aruz yang dilancarkan di pusat jualan Perodua Seksyen 15, Shah Alam. FOTO Syarafiq Abd Samad
ORANG ramai melihat model terbaru Perodua Aruz yang dilancarkan di pusat jualan Perodua Seksyen 15, Shah Alam. FOTO Syarafiq Abd Samad

Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) meningkatkan sasaran jualannya sebanyak empat peratus kepada 231,000 unit tahun ini berbanding 227,243 unit pada 2018, sekali gus menguasai 38 peratus pasaran jualan kereta di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, jualan berterusan Myvi serta pengenalan model kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharunya, Aruz menjadi faktor utama peningkatan jualan Perodua.

“Unjuran daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengenai peningkatan pasaran automotif negara pada 2019 walaupun pada kadar yang kecil turut membantu Perodua meningkatan sasaran jualan kami.

“Peningkatan jualan itu bukan saja akan mengukuhkan jenama serta penguasaan pasaran kami, tetapi turut membantu perkembangan industri automotif negara,” katanya selepas Majlis Makan Tengahari Tahun Baru Cina bersama media di sini, semalam.

Zainal Abidin berkata, Perodua berada dalam landasan tepat untuk terus berkembang tahun ini selepas merekodkan jualan tertingginya dalam sejarah pada 2018.

“Pada 2018, Myvi adalah model terlaris Perodua sebanyak 82,122 unit dijual daripada 117,844 unit tempahan. Malah, sejak pelancaran Myvi baharu itu pada November 2017, ia mencatatkan 147,000 tempahan dengan 91,500 unit dijual.

“Model Axia, Bezza dan Alza juga kekal nombor satu dalam segmen masing-masing dengan jualan sebanyak 70,821, 49,911 dan 24,389 unit.

“Malah, sambutan terhadap Aruz juga adalah positif apabila menerima 5,700 unit tempahan sejak 3 Januari lalu. Perodua menjangkakan Aruz mampu dijual sebanyak 30,000 unit tahun ini atau 2,500 unit sebulan,” katanya.

Zainal Abidin berkata, Perodua bakal meningkatkan pembelian komponennya sebanyak 20 peratus kepada RM6 bilion tahun ini, berbanding RM5 bilion tahun lalu.

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan permintaan yang dijangkakan pada 2019 dan secara langsung memberi manfaat kepada pembekal automotif tempatan.

Katanya, Perodua juga akan meningkatkan pengeluaran unit kenderaannya daripada dua kilangnya iaitu Perodua Manufacturing Sdn Bhd dan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd sebanyak 10.5 peratus kepada 242,000 unit tahun ini berbanding 219,000 unit pada 2018.

Daripada sudut selepas jualannya pula, Zainal Abidin berkata, Perodua memecahkan rekod dalaman dari segi pengambilan servis pada 2018, meningkat tiga peratus kepada 2.17 juta pengambilan berbanding 2.1 juta pengambilan pada 2017.

“Jualan alat ganti dan aksesori juga naik 11 peratus pada 2018 kepada RM320.8 juta manakala perniagaan badan dan cat (B&P) serta kenderaan pramilik (terpakai) juga menyaksikan perkembangan menggalakkan.

“Segmen selepas jualan adalah aspek penting kepada kumpulan dan ia menyokong pasaran untuk terus berdaya saing. Perodua sentiasa komited meningkatkan kepuasan dan kualiti dalam pengukuhan jenama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 11:07 AM