NORITA (tengah) bersama Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar dan Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah PKNS, Azmi Adnan ketika majlis pelancaran promosi PKNS Mega Bonanza, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) buat julung kali melancarkan promosi PKNS Mega Bonanza yang menawarkan rebat keseluruhan bernilai RM1 juta kepada pembeli hartanahnya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norita Mohd Sidek berkata, tawaran promosi itu bermula 1 Januari lalu hingga 28 Februari depan dan khusus buat rumah PKNS yang siap dibina.

Katanya, diskaun sehingga 20 peratus untuk pembelian kediaman terpilih PKNS ditawarkan bagi projek di Kota Puteri iaitu Daffina 3, Daffina 2 dan Elaisha, projek Azhara di Antara Gapi serta Menara U dan U2 di Shah Alam.

“Diskaun ini bukan juga hanya terhad kepada Bumiputera, sekali gus membuka peluang kepada semua kaum memiliki kediaman sendiri.

“PKNS juga memberikan rebat tunai keseluruhan sehingga RM1 juta bagi projek Hijauan Enklaf dan Anggun Kinrara di Alam Nusantara, Setia Alam serta 10 Residensi di Seksyen 17, Shah Alam,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Norita berkata, pembeli turut berpeluang menikmati insentif dokumentasi bernilai sehingga RM15,000 bagi projek Hijauan Enklaf, Opal Residensi, Taman Bayu Malawati dan 10 Residensi.

“Pembeli juga bakal menerima baucar barangan elektrik bernilai sehingga RM30,000 untuk projek Hijauan Enklaf, Opal Residensi dan Rasa Avenue.

“Malah, kami turut memberikan baucar Smart Home bernilai sehingga RM15,000 bagi projek Anggun Kirana, Vega Residensi serta baucar hiasan dalaman sehingga RM10,000 bagi projek terpilih di Taman Bayu Melawati,” katanya,

Selain itu, beliau berkata, pembeli bakal menikmati sifar bayaran pendahuluan, manakala kos Perjanjian Jual Beli (SPA) dan Memorandum Pertukaran (MOT) akan ditanggung oleh PKNS bagi projek terpilih.

Norita berkata, Skim Smart Ownership yang sudah tamat tempoh pada 31 Disember lalu pula diteruskan dengan pemberian insentif First Ownership iaitu pemberian diskaun sehingga 10 peratus untuk pembelian hartanah PKNS kali pertama kepada pembeli.

“Manakala, insentif Loyalty Scheme iaitu pemberian diskaun 12 peratus kepada pembeli hartanah PKNS untuk kali kedua atau lebih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 5:01 AM