MOHAMED Faroz (lima dari kiri) bersama rakan niaga pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Jakel ke-35 di KLCC. FOTO Asyraf Hamzah
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel), syarikat tekstil Bumiputera terbesar di Malaysia mengunjurkan pertumbuhan jualan yang lebih baik tahun ini bersandarkan kepada permintaan pelanggan dan produk ditawarkan.

Pengarah Urusannya Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pada tahun lalu, syarikat tekstil itu menjana jualan RM1.35 bilion bagi segmen tekstil dan ia adalah pencapaian memberangsangkan bagi perniagaan itu.

Beliau berkata, meskipun persekitaran dilihat tidak menentu dan perlahan, Jakel akan terus mempergiatkan usaha memperkukuh kedudukan sebagai syarikat tekstil Bumiputera terbesar di Malaysia.

“Untuk permulaan tahun ini, kami melihat permintaan pelanggan setia Jakel dan mereka yang baru membeli bersama kami menunjukkan prestasi lebih baik.

“Malah, ia adalah isyarat kepada syarikat untuk terus mencatatkan pertumbuhan jualan yang kukuh tahun ini,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Jakel ke-35 di sini.

Majlis berkenaan adalah bagi meraikan kakitangan dan rakan niaga Jakel yang bersama-sama membangunkan syarikat dalam industri tekstil negara.

Jakel mempunyai 24 cawangan di seluruh negara dengan 6,700 kakitangan dalam memastikan syarikat berdaya maju untuk tampil sebagai jenama tekstil terkemuka di Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohamed Faroz berkata, dalam tempoh 35 tahun, Jakel terus mencipta nama dan mendapat tempat dalam kalangan peminat tekstil di Malaysia.

Malah, katanya, sejak Jakel memindahkan operasi perniagaannya ke Kuala Lumpur pada 2007, syarikat terus cemerlang dan meraih pelbagai kejayaan dalam industri.

“Apabila berada di ibu negara, Jakel menjadi pilihan kerana ia bersesuaian dengan semua lapisan masyarakat serta setanding gergasi tekstil di luar sana,” katanya.

Jenama Jakel yang sinonim dengan perniagaan fabrik dimulakan di Muar, Johor sebelum membuka cawangan di Segamat pada 1985 sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 2007.

Kewujudan Jakel Mall menunjukkan Jakel terus berkembang berbanding pada awal ia mula beroperasi.

Syarikat yang terkenal dengan moto Ingat Kain, Ingat Jakel itu mula melebarkan sayap dengan menceburi bidang pembinaan, perumahan, industri pertahanan dan teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 11:00 AM