Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias pada sidang media sempena Prestasi Kewangan KWSP 2018. FOTO Salhani Ibrahim.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias pada sidang media sempena Prestasi Kewangan KWSP 2018. FOTO Salhani Ibrahim.

Oleh Mahanum Abd Aziz dan Nora Mahpar

[email protected]

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemegang saham utama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan AirAsia Group Bhd (AirAsia) berharap krisis yang berlaku antara dua pihak terbabit dapat diselesaikan secepat mungkin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata, pihaknya khuatir pertelingkahan antara pengendali lapangan terbang dan syarikat penerbangan itu akan memberi kesan buruk kepada pasaran tempatan.

“Sebagai pemegang saham, kita bimbang dengan krisis yang berlaku dan ia telah dibawa kepada umum. Ini bukan saja tidak baik bagi kedua-dua organisasi tetapi juga beri kesan buruk kepada Malaysia secara keseluruhan kerana ia adalah antara dua kaunter terbesar (dalam pasaran saham tempatan),” katanya pada sidang media sempena Prestasi Kewangan KWSP 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, pengurus dana persaraan itu sudah menghantar surat kepada kedua-dua pihak namun, ia bukanlah surat menyatakan siapa yang salah namun lebih kepada surat menyatakan kebimbangan.

“AirAsia sudahpun memberi maklum balas kepada kami dan kita masih lagi meunggu maklum balas daripada MAHB. Kami sedang menunggu untuk berjumpa dengan mereka.

“Satu daripada dua syarikat ini akan mengadakan perjumpaan dengan kami dalam masa terdekat. Kami gembira dengan maklum balas ini ... untuk menjelaskan situasi sebenar,” katanya.

Pertikaian yang bermula sejak Disember lalu menyaksikan anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd mengambil tindakan undang-undang terhadap AirAsia Bhd yang juga unit AirAsia Group serta penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X Bhd dengan mengemukakan saman masing-masing sebanyak RM9.40 juta dan RM26.72 juta membabitkan caj perkhidmatan penumpang (PSC).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 4:07 PM