PENGURUS Besar Kumon Malaysia, Yosuke Sugawa. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Kumon Education (Malaysia) Sdn Bhd, komited untuk terus mengukuhkan kehadirannya di seluruh negara bagi menyediakan akses terbaik kepada pendidikan secara holistik.

Kumon Malaysia ditubuhkan sejak 1997 dan kini mempunyai 204 cawangan di seluruh negara.

Baru-baru ini, Kumon membuka empat pusat baharu iaitu di Setia Ecohill (Semenyih), Bandar Tasek Mutiara (Pulau Pinang), Subang Bestari dan Taman Pelangi, Johor Bahru.

Pengurus Besar Kumon Malaysia, Yosuke Sugawa berkata, pihaknya berhasrat untuk menubuhkan lebih banyak pusat Kumon di negara ini supaya dapat memberi peluang kepada lebih ramai kanak-kanak belajar melalui kaedah Kumon.

Katanya, Kumon Malaysia menyasarkan untuk membuka 20 pusat baharu menjelang 2020.

“Kami yakin untuk membuka 10 pusat Kumon baharu menjelang akhir tahun ini dan 10 lagi pada tahun depan.

“Kumon juga sudah berada di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

“Selain itu, kami akan meluaskan lagi pusat Kumon di Perlis dan Pahang tahun ini kerana kami lihat kedua-dua negeri ini berpotensi dan menerima permintaan daripada orang ramai,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, dua lagi pusat Kumon baharu yang akan dibuka pada suku pertama tahun ini ialah di Bintulu, Sarawak dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sugawa berkata, Kumon beroperasi menerusi model perniagaan francais yang memerlukan modal dengan anggaran RM70,000 sehingga RM100,000 bergantung kepada lokasi dan saiz pusat pembelajaran.

“Kumon sentiasa ingin memastikan pelajar mendapat ilmu terbaik terutama dalam pendidikan paling asas dan penting iaitu Matematik serta Bahasa Inggeris.

“Sejak ditubuhkan, Kumon Malaysia melatih lebih 33,000 pelajar dan kami komited untuk meningkatkan jumlah itu sebanyak 10 peratus dalam tempoh dua tahun.

“Kaedah Kumon membantu pelajar menguasai pembelajaran sendiri dan memberi manfaat kepada pelajar untuk memperoleh pengetahuan yang lebih mendalam mengikut kemampuan pelajar itu sendiri.

“Kami juga menerapkan pembelajaran diri yang menggalakkan pelajar berdikari, mempunyai keyakinan serta menyediakan mereka dengan kemahiran hidup yang kritikal sepanjang proses pembelajaran,” katanya.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan boleh melayari www.kumonmalaysia.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 9:25 AM