Lim pada sidang media berkaitan perkembangan projek LRT3. FOTO Eizairi Shamsudin
Oleh Mahanum Abdul Aziz


PROJEK Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang kini dalam landasan untuk disiapkan menjelang 28 Februari 2024 mendapat sokongan kerajaan dari segi pembiayaan projek.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kementeriannya bertanggungjawab menyediakan pembiayaan sama ada menerusi pinjaman atau jaminan untuk projek berkenaan berjalan lancar.

Beliau berkata, bagi memastikan harga kontrak LRT3 tidak berubah-ubah, kerajaan telah menukarkan kontrak Rakan Pelaksana Projek (PDP) antara Prasarana Malaysia Bhd dan MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK) kepada Kontrak Harga Tetap, yang mana ia memberikan kerajaan kepastian dalam merancang perbelanjaan sambil memastikan projek itu berjalan lancar pada kos berpatutan.

Katanya, hasil perbincangan, rundingan dan usaha rasionalisasi berjaya mengurangkan kos keseluruhan projek kepada RM16.63 bilion berbanding kos asal RM31.65 bilion dengan jumlah stesen dikurangkan kepada 20 stesen berbanding cadangan asal sebanyak 26 stesen.

“Saya ingin tegaskan bahawa penjimatan ini dicapai tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan dan keupayaan LRT3 untuk menampung keperluan harian dua juta warga kota sehingga 2042.

“Mengikut pelan sekarang, kapasiti LRT3 akan diperkembang secara berperingkat berdasarkan kepada unjuran permintaan semasa dan dalam masa terdekat, dan bukannya seperti sebelum ini yang mana kapasiti dibina secara serta-merta untuk dipadankan dengan permintaan 20 tahun akan datang,” katanya pada majlis memeterai Perjanjian Novasi antara Prasarana, MRCBGK dan sembilan kontraktor pakej kerja (WPC) di

Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 5:20 PM