KHAIRUL (dua dari kiri) bersama Mohamad Zainal (kiri) menunjukkan kad keahlian M-Jannah pada Majlis Perasmian Setahun Bersama M-Jannah di Putrajaya, semalam. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Suffian A Bakar dan Samadi Ahmad


PUTRAJAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad menyasarkan 450,000 ahlinya menyertai produk M-Jannah bagi meraih jualan RM35.5 juta menjelang Mac 2020

Timbalan Presiden merangkap Ketua Pengurusan Kekayaan dan Perbankan, Sarimah Bashah berkata, pihaknya kini berada di prestasi terbaik untuk mencapai sasaran itu selepas mendapat sambutan 4,500 pelanggan sejak Mac tahun lalu.

Beliau berkata, produk M-Jannah adalah perkhidmatan pengurusan jenazah dan ia sebahagian perkhidmatan holistik yang memberi manfaat kepada pelanggan.

Katanya, pakej ditawarkan berpatutan dan boleh diperbaharui secara tahunan dari serendah RM59 bagi individu dan RM249 untuk pakej keluarga.

“Produk ini menjadi komitmen syarikat bagi melanjutkan serta memperkukuh maqasid syariah bagi mewujudkan hubungan baik serta perpaduan sesama umat Islam dan bukan Islam melalui institusi perbankan dan kewangan berlandaskan Islam,” katanya pada Majlis Perasmian Setahun Bersama M-Jannah di sini, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Khairul Kamarudin.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Bumijez Sdn Bhd, Mohamad Zainal Khamis dan Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Peer Mohamed Ibramsha.

Produk bukan kewangan dan berbentuk keahlian itu dibangunkan secara kerjasama dengan syarikat pengendali pengurusan jenazah dan harta pusaka, Bumijez Sdn Bhd.

Sebanyak 64 cawangan Bank Muamalat di seluruh negara mengendalikan produk itu dengan tawaran RM1,500 bagi pengurusan jenazah serta dilengkapi zikir tahlil, khatam al Quran, badal haji, penyediaan batu nisan dan pemberian wang khairat RM1,500 kepada waris.

Sarimah berkata, produk M-Jannah merangkumi kategori pasangan suami isteri serta lima anak dan warga emas termasuk manfaat akibat kemalangan maut (maksimum RM50,000), keilatan kekal atau separa kekal (maksimum RM50,000), tuntutan bil rawatan, ambulans, elaun hospital, Real Reward serta diskaun 10 peratus untuk bil rawatan di klinik panel PCS Rakyat.

Beliau berkata, sepanjang Mac ini, pihaknya menawarkan diskaun lima peratus bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelanggan baharu menyertai produk itu.

“Kami yakin sasaran keuntungan untuk 2020 dapat dicapai kerana produk yang ditawarkan itu banyak memainkan peranan menarik kepercayaan pelanggan kepada perkhidmatan yang kami tawarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 9:30 AM