PESERTA mendengar ucapan diberikan ketika Seminar Industri4WRD dan Automasi, semalam. FOTO Muhammad Asyraf Sawal
PESERTA mendengar ucapan diberikan ketika Seminar Industri4WRD dan Automasi, semalam. FOTO Muhammad Asyraf Sawal
Nik Sukry Ramli

KUANTAN: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memuktamadkan pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming berkata, perkara itu penting bagi memastikan lebih banyak pemain industri, termasuk pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam merebut peluang ditawarkan kerajaan melalui Dasar Kebangsaan melalui Industri 4.0 atau Industri4WRD dilancarkan kerajaan Oktober lalu.

“Kalau boleh kita mahu lebih banyak pemain industri dan PKS mendapat manfaat daripada dasar ini... buat masa ini, sudah ada 80 (pemain industri) mendaftar dengan kita (MITI) dan kita harap ramai lagi tampil menyertai kita.

“Walaupun kita sedang bergerak ke arah Industri 4.0, banyak lagi PKS yang masih ketinggalan... antara isunya ialah masalah capaian (liputan) Internet di kawasan tertentu.

“Saya difahamkan, perkara ini sudah diumumkan dalam Belanjawan 2019 dengan memperkenalkan NFCP dan ia akan dibincangkan lebih terperinci oleh MIDA dan SKMM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Industri4WRD dan Automasi anjuran Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Divisyen Pembangunan Kewangan MIDF, Azizi Mustafa.

Ong berkata, pihaknya yakin dengan kemampuan Pahang, terutamanya syarikat beroperasi di kawasan perindustrian Gebeng, meneroka pasaran lebih luas melalui bantuan dan dasar kerajaan hari ini.

Selain itu, kewujudan Taman Perindustrian Kuantan-China Malaysia (MCKIP) juga dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang berimpak tinggi dengan lebih banyak pelaburan baharu bakal direkodkan di kawasan berkenaan dari semasa ke semasa.

“Kedudukan MCKIP yang strategik berhampiran dengan Pelabuhan Kuantan menjadi faktor utama pemilihan syarikat multinasional membuat pelaburan di sini... saya difahamkan ada syarikat yang sudah menyatakan minat untuk melabur di sana (MCKIP) dan mereka dijangka membina kilang dalam masa terdekat... kita akan berikan insentif kepada syarikat terbabit dan terdapat beberapa lagi pelaburan sedang dalam perbincangan,” katanya.

Katanya, MIDF juga akan terus memberi sokongan kepada syarikat tempatan dengan menyediakan pelbagai tawaran bantuan kewangan supaya mereka kekal kompetatif serta bertahan menghadapi cabaran ekonomi ketika ini.

MIDF kini menguruskan RM2.5 bilion skim pinjaman mudah untuk membantu PKS tempatan bersaing di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 10:30 AM