X
Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Shahril Ridza Ridzuan pada Ulasan Tahunan Khazanah 2019. FOTO Aswadi Alias.
Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Shahril Ridza Ridzuan pada Ulasan Tahunan Khazanah 2019. FOTO Aswadi Alias.
Nurhayati Abllah dan Nora Mahpar


Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) optimis untuk kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, didorong oleh susut nilai lebih rendah serta pelaksanaan strategi pengimbangan semula portfolio.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, prestasi dana pelaburan strategik negara itu pada 2018 terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi global sepanjang tahun lalu yang menyaksikan pasaran yang perlahan berikutan ketegangan geopolitik dan prospek pertumbuhan kurang memberangsangkan bagi pasaran baharu muncul.

“Selain itu, portfolio kumpulan juga dipengaruhi oleh perkembangan domestik termasuk tinjauan pendapatan yang suram dan beberapa perubahan dalam pengawalseliaan dalam tempoh dikaji.

“Pada masa sama, kerajaan turut menyuntik nafas baharu terhadap Khazanah yang membabitkan perubahan besar, termasuk mandat baharu.

“Penyusunan semula organisasi yang sedang dijalankan ini akan membolehkan kami melaksanakan peranan bagi mengembangkan kekayaan jangka panjang Malaysia bermula tahun ini dan kembali mencatat keuntungan," katanya ketika mengumumkan Ulasan Tahunan Khazanah 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 2018, kerajaan memulakan penstrukturan dan penyusunan semula Khazanah, membabitkan perubahan kepimpinan dan pengurusan kanan dalam Lembaga Pengarah.

Khazanah mencatatkan kerugian sebelum cukai RM6.271 bilion pada 2018 berbanding keuntungan RM2.896 bilion tahun sebelumnya, kerugian pertama sayap pelaburan kerajaan itu sejak 2005.

Nilai portfolio menerusi Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) merosot kepada RM91 bilion pada 2018, susut 21.6 peratus daripada RM116 bilion pada 2017.

Bagi tempoh sama, aset boleh tunai berkurangan kepada RM136 bilion daripada RM157 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 5:49 PM
Kabinet Malaysia 2020