Sri Ayu Kartika Amri


Pameran Hartanah MyRumah 2019 menyasarkan pembeli rumah dan pelabur hartanah sekitar Wilayah Tengah dengan menawarkan hartanah yang berharga serendah RM130,000.

Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berkata, sejak diperkenalkan pada 2016, MyRumah telah bekerjasama dengan 53 pemaju perumahan.

Katanya, pelbagai penambahbaikan dibuat dalam usaha kumpulan untuk merealisasikan impian rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri yang lebih selesa.

"MyRumah 2019 di Kuala Lumpur ini akan menampilkan 12 projek perumahan sekitar Lembah Klang, merangkumi 2,011 unit kediaman dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah lebih RM923 juta.

"Turut hadir kali pertama di pameran hartanah MyRumah ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Perumahan Negara yang mempamerkan projek mampu milik kerajaan serta skim hartanah yang tersedia untuk kakitangan kerajaan," katanya pada majlis pelancaran siri pertama pameran MyRumah 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bersama Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid (dua dari kiri) ketika merasmikan MyRumah 2019 di My Town Shopping Centre, Kuala Lumpur. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Abdul Hamid (empat dari kiri). FOTO Eizairi Shamsudin

Hadir sama, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Yahya Ab Ghani; Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Bhd (MPB), Datuk Kamal Khalid dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Roche Chew.

Dianjurkan oleh NSTP, pameran hartanah MyRumah 2019 adalah siri pertama daripada tujuh siri penjelajahan yang akan dianjurkan di seluruh negara.

Selepas Kuala Lumpur, MyRumah akan diadakan di Seberang Perai pada Jun, Melaka (Julai), Johor Bahru (Ogos), Kuantan (September) kemudian ke Kota Kinabalu pada Oktober ini dan penutup siri pameran adalah di Ipoh pada November 2019.

Untuk maklumat lanjut, sila ikuti MyRumah 2019 di laman sosial Facebook iaitu www.facebook.com/MyRumahMPB.

end

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 5:30 PM