PROTON Persona 2019 yang mula diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan sejak 2007 kini tampil dengan ciri baru dilengkapi lebih 300 pembaharuan.
Lizam Ridzuan

SUBANG Jaya: Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 30 peratus setahun untuk tahun ini melalui dua model baharu Iriz dan Persona yang bakal dilancarkan pada hujung bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, buat masa ini jualan yang dicatatkan masing-masing 1,000 unit dan 2,000 unit sebulan dengan model 2019 dengan ciri kemasan baharu dipertingkatkan dijangka diterima baik pasaran.

“Selepas 17 bulan Proton sebagai rakan niaga Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely), dua model ini diperkemaskan dengan ciri luaran dan dalaman baharu serta dilengkapi aplikasi termaju dalam segmennya termasuk fungsi arahan suara Hi, Proton,” katanya ditemui ketika pratonton media Proton Persona 2019, semalam.

Menurutnya, Proton juga mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 42 peratus pada Januari dan Februari tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu dipacu pengenalan model kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 yang kini menerima tempahan sebanyak 5,600 unit dan 1,000 daripadanya sudah diserahkan kepada pembeli bulan lalu.

Proton Persona 2019 yang mula diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan sejak 2007 kini tampil dengan ciri baru dilengkapi lebih 300 pembaharuan yang dipertingkatkan termasuk gril hadapan berkonsepkan ‘busur panah’ dan gril radiator Infinite Weave sebagai elemen utama yang mula diperkenalkan pada Proton X70.

Empat varian ditawarkan iaitu Standard 1.6L MT(manual), Standard 1.6L CVT, Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT dengan lima pilihan warna ditawarkan pada harga tempahan atas talian RM9.99 bermula esok sehingga 22 Mac 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 9:50 AM