DR Ong (tengah) bersama Dr Munir (kiri) dan Tengku Zafrul pada sesi dialog eksklusif, semalam.
DR Ong (tengah) bersama Dr Munir (kiri) dan Tengku Zafrul pada sesi dialog eksklusif, semalam.
Mahanum Abdul Aziz

KUALA Lumpur: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming menegaskan berdasarkan maklumat diterimanya, kereta nasional ketiga bukan kereta terbang.

Beliau berkata, sebarang persoalan mengenai kereta nasional ketiga itu boleh ditujukan kepada Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) apabila ia agensi relevan menguruskan hal berkenaan.

Katanya, kementeriannya hanya bekerjasama dengan MIGHT dari segi Dasar Automotif Negara dengan melihat bagaimana kereta nasional ketiga memenuhi industri automotif secara meluas.

“Setakat yang saya tahu, kereta nasional ketiga bukan kereta terbang. Kereta terbang adalah bukan sesuatu yang akan dikeluarkan atau dijual secara komersial dan besar-besaran,” katanya pada sesi dialog eksklusif anjuran Institut Penyelidikan CIMB ASEAN (CARI) bertajuk ‘Tinjauan Integrasi ASEAN 2019’ di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi CARI dan Presiden Kelab Perniagaan ASEAN, Tan Sri Dr Munir Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Mengenai manfaat integrasi ASEAN terhadap sektor automotif negara, Kian Ming berkata, apabila menyentuh mengenai sektor automotif di Malaysia, ia bukan lagi setakat melihat kepada kereta nasional saja.

Beliau berkata, jika melihat pasaran kereta di Malaysia, kebanyakan model kereta popular di negara ini dipasang di dalam negara membabitkan pelbagai pengeluar sama ada dari Jepun, Korea dan Eropah.

“Dari segi integrasi, kita perlu melihat kepada keseluruhan sektor automotif yang kita boleh integrasi. Contohnya, vendor di Malaysia yang ketika ini membekalkan kepada peserta automotif di negara ini boleh menawarkan perkhidmatan di negara ASEAN lain seperti Vietnam kerana integrasi rantaian bekalan automotif di negara itu masih rendah dan vendor tempatan boleh mengeksploit pasaran ASEAN,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Kian Ming berkata, kerajaan optimistik perjanjian itu akan dimuktamadkan hujung tahun ini meskipun masih banyak perkara perlu diselesaikan.

Beliau berkata, antara perkara yang perlu diselesaikan termasuk paras liberalisasi perdagangan dan peratusan barangan yang tidak akan dikenakan tarif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 9:58 AM