Sri Ayu Kartika Amri

KUALA Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) yakin penubuhan pusat perkhidmatan pelanggan BNMLINK dan BNMTELELINK akan terus membantu serta memudahkan orang ramai menangani isu dan aduan mengenai hal di bawah bidang kuasa BNM.

Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat BNM, Datin Arlina Ariff berkata, setakat ini Bank Negara Malaysia Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (BNMLINK) menerima 2,500 pertanyaan setiap hari berkaitan perkhidmatan institusi kewangan, insurans serta takaful.

Menurutnya, kebanyakan pertanyaan dan aduan dibuat secara e-mel dan panggilan ke pusat perhubungan pelanggan (BNMTELELINK) itu adalah mengenai khidmat nasihat serta pengesahan polisi bank pusat.

“Bagaimanapun, ada juga pengguna yang ingin mendapatkan bantuan mengenai permasalahan pembiayaan dan perkhidmatan kewangan terutama mereka yang berdepan dengan tindakan rumah akan dilelong.

“Kami mahu menasihatkan kepada orang ramai terutama peminjam yang menghadapi kesukaran dalam membuat pembayaran balik pembiayaan supaya jangan menunggu sehingga bank mengambil tindakan undang-undang,” katanya di taklimat media di sini, semalam.

Beliau berkata, langkah pertama yang perlu diambil adalah merujuk perkara terbabit kepada bank terlebih dahulu dan berbincang mengenai jalan terbaik bagi membantu peminjam sama ada melalui penjadualan atau penyusunan semula pembiayaan.

“Sekiranya tiada jalan penyelesaian yang boleh diambil, pengguna boleh terus menghubungi atau datang ke rangkaian BNMLINK iaitu di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching,” katanya.

Arlina berkata, BNMLINK dan BNMTELELINK juga boleh membantu orang ramai menangani isu dan aduan berkaitan produk serta perkhidmatan kewangan, pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pentadbiran pertukaran asing dan laporan kredit yang dikeluarkan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Menurutnya, BNM akan memberi masa dua minggu untuk pihak bank atau institusi terbabit bagi memberi maklum balas kepada BNMLINK bagi setiap aduan dan sekiranya kes itu tidak diberi perhatian, tindakan akan diambil.

Orang ramai boleh berkunjung ke BNMLINK Blok D, Bank Negara Malaysia, Jalan Dato Onn, KL (Waktu urusan: Isnin - Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang), atau menghubungi talian 1300885465 atau e-mel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 10:34 AM