SAIFUDDIN (lima dari kanan) bersama Kok (enam dari kiri) serta wakil pengilang dan pembungkus skim COSS selepas perjumpaan dengan menteri di Dewan Sawit MPOB, Bandar Baru Bangi, semalam.
Mohd Zaky Zainuddin


KERAJAAN memperuntukkan subsidi minyak masak berjumlah RM600 juta di bawah Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, subsidi berkenaan merangkumi sebanyak 60 sen bagi sepeket satu kilogram membabitkan keseluruhan 60,000 tan minyak masak.

“Jumlah susbsidi ini membabitkan 282 syarikat pembungkus semula yang berada di bawah skim COSS di seluruh negara.

“Setiap syarikat diberikan kuota tertentu mengikut kawasan bagi membungkus semula minyak masak untuk dijual di pasaran tempatan pada harga RM2.50 sepaket,” katanya selepas mengadakan pertemuan antara KPDNHEP dan Kementerian Industri Utama bersama syarikat di bawah skim COSS di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Pada majlis itu, Kementerian Industri Utama turut memperkenalkan logo Sayangi Sawitku yang akan digunakan dalam kempen berkenaan.

Majlis pelancaran kempen akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Mac ini.

Saifuddin berkata, KPDNHEP akan bekerjasama dengan Kementerian Industri Utama bagi mendukung kempen Sayangi Sawitku tahun ini.

“Kira-kira 282 syarikat pembungkus semula akan mencetak logo Sayangi Sawitku di setiap peket minyak masak bermula 30 Jun depan.

“Kempen ini untuk memupuk semangat kecintaan dan kebanggaan terhadap minyak sawit yang menjadi asas utama minyak masak kita.

“Pembabitan mereka bukan hanya memastikan bekalan minyak masak mencukupi, malah membantu kerajaan menyampaikan kempen kepada khalayak sasaran,” katanya.

Sementara itu, Kok berkata, kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan syarikat pengeluar produk yang menggunakan minyak sawit bagi memaparkan logo Sayangi Sawitku pada produk masing-masing.

“Kami menyediakan logo Sayangi Sawitku untuk diguna pakai pengeluar produk dan tujuan pengiklanan di pelbagai platform media,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 10:35 AM