SEBANYAK 4,000 unit Aruz diserahkan kepada pemiliknya daripada 14,000 tempahan. FOTO Mahzir Mat Isa
SEBANYAK 4,000 unit Aruz diserahkan kepada pemiliknya daripada 14,000 tempahan. FOTO Mahzir Mat Isa
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan Aruz menjadi kenderaan utiliti sukan (SUV) terlaris di Sabah dan Sarawak berikutan kedua-dua negeri berkenaan didominasi pasaran kenderaan jenis itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya mahu mengembangkan bahagian pasaran di Sabah dan Sarawak dari 40 peratus ketika ini yang mana Aruz akan menerajui perkembangan pasaran berkenaan.

Beliau berkata, sejak dilancarkan Januari lalu, 4,000 unit Aruz diserahkan kepada pemiliknya daripada 14,000 tempahan dari seluruh negara setakat ini.

“Sambutan menggalakkan daripada rakyat mendorong kami bekerja lebih keras dalam memperbaiki tempoh masa penghantaran.

“Malah, kami berharap untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan setia Perodua,” katanya.

Terdahulu, Zainal Abidin merasmikan acara pelepasan Konvoi Perodua Aruz TransBorneo di Kuching, Sarawak yang mana enam unit Aruz akan memulakan penjelajahan ke Tawau, Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 8:30 AM