Ketua Pegawai Eksekutif AFFINBANK, Kamarul Ariffin Mohd Jamil (tiga dari kiri) pada majlis penyerahan hadiah kempen OMG. FOTO Amirudin Sahib
Nabil Basaruddin


AFFIN Bank Bhd (AFFINBANK) optimis institusi perbankan itu berupaya mengekalkan prestasi cemerlang tahun kewangan yang lalu pada tahun ini serta yakin dengan prospek semasa sektor perbankan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, pihaknya berharap untuk mencapai keuntungan yang sama atau meningkat dengan lebih baik lagi berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, pencapaian yang lebih baik yang dijangkakan itu adalah bersandarkan kepada pertumbuhan bagi segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta portfolio perbankan runcit yang semakin berkembang.

“Tahun kewangan yang lalu merekodkan pencapaian yang begitu cemerlang dan untuk 2019, kita jangka ia akan kekal sama atau lebih baik yang mana ia selari dengan Program Transformasi Affinity bank ini.

“Bank juga akan memperkenalkan sistem baharu serta menaik taraf sistem perbankan Internet untuk segmen runcit seterusnya memberikan pengalaman lebih baik untuk menarik pelanggan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan hadiah kepada pemenang Kempen OMG di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis terbabit menyaksikan 92 pemenang kempen berkenaan berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM700,000 yang mana seorang pemenang utama menerima kereta Mercedes Benz GLA.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic, Nazlee Khalifah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 3:31 PM