KUALA LUMPUR 27 SEPTEMBER 2018. UEM SUNRISE - TEEGA JOHOR. NSTP/EMAIL
Mahanum Abd Aziz dan Hazwan Faisal Mohamad

KUALA Lumpur: UEM Sunrise Bhd menyasarkan jualan RM1.2 bilion bagi pembangunan hartanahnya untuk 2019 sama seperti sasaran tahun lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, UEM Sunrise bakal melancarkan beberapa projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion.

“Syarikat akan melancarkan projek berskala kecil di Puchong dan Bangi di Selangor dan di Gerbang Nusajaya di Iskandar Puteri tahun ini dengan harga jualan daripada RM500,000 hingga RM1 juta seunit.

“Jika dahulu kami melancarkan projek sehingga 400 unit, namun kini saiznya lebih kecil iaitu antara 150 hingga 200 unit dengan GDV juga lebih rendah.

“Kami akan melihat maklum balas daripada pasaran terlebih dahulu dan (jika positif), barulah kami akan melancarkan lebih banyak projek,” katanya ketika ditemui selepas sesi bersama pelabur di Invest Malaysia 2019, di sini.

Tahun lalu, UEM Sunrise mencatat jualan hartanah RM1.43 bilion, jauh melepasi sasaran RM1.2 bilion yang ditetapkan.

Keuntungan bersihnya tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 juga melonjak 165.53 peratus kepada RM280.33 juta, berbanding RM105.57 juta pada 2017.

Mengulas mengenai kempen pemilikan rumah (HOC), Anwar Syahrin berkata, UEM Sunrise berjaya menjual 30 unit pada kempen itu sebelum ini, jumlah tertinggi berbanding pemaju lain.

“Namun, kami juga mempunyai kempen sendiri dan ia turut membantu syarikat. Tahun lalu saja, kami menjual RM400 juta inventori kediaman yang tidak terjual sebelum ini.

“Memang pasaran ketika ini mencabar tetapi kami masih mampu hadapinya. Ini menunjukkan strategi diguna pakai syarikat adalah berkesan,” katanya.

Ditanya mengenai simpanan tanah, beliau berkata, UEM Sunrise ada 5,180 hektar tanah di seluruh negara termasuk tanah usaha sama.

“Kami mencari tanah yang sesuai di kawasan sentral pada harga berpatutan. Lokasinya berhampiran projek yang sedang dilaksanakan,” katanya.

UEM Sunrise juga, katanya, aktif meninjau peluang untuk membeli tanah di Australia selepas menyiapkan dua projek hartanah di Melbourne iaitu Aurora dan Conservatory.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 12:15 PM