KHALIL ketika menyampaikan penerangan kad bonanza petronas di Petronas Ampang. --Foto Muhd Zaaba Zakeria
Nabil Basaruddin


PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) melancarkan Kempen Mesra Bonanza yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM1.7 juta dan mata ganjaran Mesra bernilai lebih RM2 juta untuk 10,000 pemenang bertuah.

Kempen berkenaan yang bermula hari ini sehingga 31 Januari 2020 dibuka secara eksklusif hanya kepada ahli Kad Mesra Petronas.

Ketua Perniagaan Runcit PDB, Khalil Muri berkata, pihaknya membawa kembali kempen ini memandangkan ia mendapat sambutan luar biasa pada penganjurannya untuk edisi terdahulu.

Beliau berkata, berdasarkan kejayaan kempen dan maklum balas pelanggan pada tahun lalu, pihaknya tidak lagi menawarkan hadiah seperti pakej percutian dan gajet sebaliknya memberikan hadiah tunai dan ganjaran mata Kad Mesra seperti yang diinginkan pelanggan.

“Kami berharap kempen Mesra Bonanza edisi kedua ini akan memberikan pengalaman yang berlainan dan lebih baik kepada pelanggan.

“Untuk menyertai kempen ini, pelanggan hanya perlu mengisi minyak dan menggunakan Kad Mesra, dan semudah itu mereka boleh menjadi sebahagian daripada pemenang kempen Mesra Bonanza ini,” katanya pada majlis pelancaran Mesra Bonanza di Kuala Lumpur, hari ini.

Untuk menyertai kempen dan terpilih sebagai pemenang bulanan, pelanggan hanya perlu berbelanja minimum RM30 bagi mengisi minyak atau berbelanja di Kedai Mesra.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 5:27 PM