LIM (tengah) melihat model projek pembangunan [email protected] di Cyberjaya.
Sofyan Rizal Ishak

LBS Bina Group Berhad (LBS), pemaju perbandaran terkemuka di negara ini melancarkan pembangunan perbandaran terbaharunya iaitu [email protected] yang memiliki keluasan 256 hektar dan terletak di Cybersouth, Dengkil dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM7 bilion.

Pembangunan perbandaran baharu yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lapan hingga 10 tahun itu membabitkan pembinaan rumah teres, rumah bandar, pangsapuri servis, kedai dan unit komersial.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Lim Hock San berkata, projek terbabit mampu memenuhi keperluan keluarga moden dan kehidupan bermasyarakat berikutan harga rumah yang ditawarkan adalah berpatutan.

“Kami percaya projek ini juga akan memenuhi permintaan bagi perumahan mampu milik yang kian meningkat dan menyokong agenda perumahan negara kerajaan,” katanya pada majlis pelancaran [email protected] di sini, semalam.

Beliau berkata, fasa pertama dan kedua [email protected] yang terdiri daripada 1,077 rumah teres dua tingkat dan rumah bandar dengan GDV RM496.9 juta itu mula dijual ketika prapelancaran bagi pembangunan perbandaran terbabit pada November tahun lalu.

Menurutnya, ia menyaksikan fasa pertama yang membabitkan 379 rumah teres itu mencatatkan 95 peratus tempahan manakala fasa kedua (698 rumah bandar) 39 peratus.

“Setakat ini, projek ini mendapat sambutan menggalakkan di mana kami mencatatkan jualan sehingga RM320 juta melalui dua fasa ini,” katanya.

Lim berkata, pihaknya akan melancarkan fasa baharu bagi [email protected] dikenali Kita Harmoni dengan GDV RM390 juta dan membabitkan 674 rumah teres dua tingkat pada harga bermula daripada RM560,000 pada bulan ini.

“Kami juga akan memperkenalkan Kita Impian dengan GDV sebanyak RM316 juta dalam usaha membina lebih banyak rumah mampu milik untuk orang ramai membabitkan 964 pangsapuri servis dan tujuh kedai dengan harga rumah yang bermula daripada RM250,000 pada bulan depan,” katanya.

[email protected] mudah diakses melalui lebuh raya utama seperti Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya melalui lebuh raya seperti Lebuhraya Elite dan terletak berdekatan dengan kemudahan awam dan institusi pengajian tinggi seperti Sekolah Kebangsaan Dengkil dan Universiti Xiamen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 11:12 AM