DARI kiri, Pengerusi Co-opbank Pertama (CBP), Kamari Zamari Juhari, Nordin dan Mohd Nor melancarkan Skim Pembiayaan Sektor Koperasi, semalam.
DARI kiri, Pengerusi Co-opbank Pertama (CBP), Kamari Zamari Juhari, Nordin dan Mohd Nor melancarkan Skim Pembiayaan Sektor Koperasi, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri


CO-OPBANK Pertama (CBP) memperuntukkan dana sebanyak RM700 juta secara berperingkat-peringkat sehingga 2020 dalam usaha menyediakan peluang pembiayaan kepada sektor koperasi.

Pengerusi CBP, Kamari Zamari Juhari berkata, pihaknya menjangkakan RM350 juta disalurkan tahun ini dan selebihnya pada 2020.

Katanya, CBP juga komited meningkatkan portfolio pembiayaan bagi sektor koperasi kepada 30 peratus daripada keseluruhan portfolio pembiayaan menjelang 2020.

“Dana ini akan disalurkan melalui enam produk pembiayaan yang sudah diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) iaitu Pembiayaan Hartanah-i, Pemfaktoran-i, Pembiayaan i-Kontrak, Pembiayaan Penyambung-i (bridging), Pembiayaan Berjangka-i, Pembiayaan Kredit Berputar-i.

“Pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga RM40 juta,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Skim Pembiayaan Sektor Koperasi, semalam.

Hadir merasmikan, Pengerusi SKM, Datuk Nordin Salleh.

CBP akan mengadakan siri jelajah ke setiap negeri untuk menawarkan produk pembiayaan kepada koperasi yang berpotensi melalui kempen Membangun Bersama CBP (Skim PSK).

Sementara itu, Nordin berkata pembabitan CBP akan lebih tertumpu kepada menyokong dan memenuhi keperluan bagi segmen pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan daripada bank perdagangan.

“Keyakinan pelabur terhadap prestasi perniagaan CBP serta produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mendorong kepada peningkatan jumlah anggota melebihi 85,000 orang individu dan 684 koperasi.

“CBP juga dijangka dapat memberi manfaat kepada anggota dan pelanggannya dengan memberi tumpuan kepada pasaran kurang penerimaan terutama dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi dan mikro kredit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 10:41 AM