TUN Mahathir ketika sidang media berhubung Projek ECRL. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan kerajaan China bersetuju dengan tawaran baru Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selepas melihat kekangan kewangan dihadapi Malaysia.

Mahathir berkata, kerajaan China menyedari bahawa Malaysia menghadapi masalah kewangan selain kos yang dipersetujui dahulu adalah amat tinggi.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan China kerana memahami kedudukan dan keadaan kewangan negara selain bersetuju untuk berbincang di meja rundingan. Kini, kita dapat buktikan bahawa kita boleh buat dengan kos yang lebih rendah,” katanya pada sidang media berhuhung ECRL di Putrajaya, hari ini.

Katanya, projek berkenaan akan diteruskan semula selepas perjanjian baru itu ditandatangani oleh kedua-dua negara.

Dr Mahathir berkata, menerusi perjanjian baru itu, sebuah syarikat usahasama di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Ltd. (CCCC) akan ditubuhkan bagi menjayakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurutnya, syarikat usahasama dengan nisbah kepentingan 50:50 itu bakal bersama-sama membina, mengurus, mengendali dan menyelenggara ECRL.

“CCCC bersetuju untuk mengambil bahagian dalam operasi dan penyelenggaraan melalui syarikat usahasama 50:50 dengan syarikat Malaysia, MRL malah, syarikat itu juga akan menyediakan bantuan teknikal dan berkongsi risiko operasi selepas projek ini siap.

“Kerjasama itu sekali gus mengurangkan beban kewangan Malaysia kerana mengikut perjanjian asal, Malaysia perlu menanggung kesemua kos operasi dan penyelenggaraan,” katanya.

Katanya, menerusi perjanjian tambahan itu, pembayaran akan dibuat mengikut peratusan kerja yang siap dan bukannya tarikh-tarikh yang sudah ditetapkan.

Selain itu juga, katanya, pembabitan penyertaan tempatan dalam kerja-kerja awam projek itu turut ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Pada masa sama, Dr Mahathir juga memaklumkan, CCCC turut bersetuju untuk membayar balik sebahagian daripada bayaran pendahuluan RM3.1 bilion yang sudah dibayar untuk Fasa 2 projek itu sebelum ini.

“Sebanyak RM500 juta akan dikembalikan dalam masa seminggu dari 12 April lalu manakala, RM500 juta lagi akan dibayar dalam masa sebulan bermula dari tarikh sama. Baki bayaran akan diselesaikan dalam masa tiga bulan,” katanya.

Ditanya berapa harga tiket yang ditetapkan bagi ECRL itu nanti, Dr Mahathir memaklumkan, perkara (harga tiket) itu belum dibincangkan lagi.

Sementara itu, katanya, Malaysia juga akan mengambil peluang daripada pelaksanaan semula projek ECRL termasuk mencadangkan China untuk meningkatkan pembelian minyak sawit negara.

“Ia bukan secara langsung berkaitan (dengan perjanjian tambahan ECRL). Namun, kita akan mengambil kesempatan perjanjian itu untuk mencadangkan pembelian minyak sawit oleh China. Ini akan berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menjelaskan penyambungan semula ECRL langsung tiada kaitan dengan pertukaran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang kini dipercayai berlindung di China.

“Malaysia pastinya akan mendapatkan bantuan China jika Jho Low benar-benar berada di negara itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Jho Low yang juga dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dipercayai berada di China malah, pernah melawat Hainan, Hong Kong dan Beijing baru-baru ini.

Kerajaan pada Jumaat lalu mengumumkan projek ECRL diteruskan selepas Perjanjian Tambahan (SA) antara MRL dan CCC dimeterai

Bagaimanapun, kos pembinaan fasa satu dan dua projek berkenaan diturunkan kepada RM44 bilion berbanding kos asal iaitu RM65.5 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 7:29 PM