KHAIRUSSALEH (tengah) menunjukkan aplikasi terbaru RHB Mobile Banking App di W Hotel. - Foto BERNAMA
Nabil Basaruddin


RHB Bank Bhd (RHB Bank) menyasarkan untuk memperkenalkan ciri dompet elektronik (e-dompet) dalam aplikasi perbankan mudah alih yang baharu dilancarkan, iaitu RHB Mobile Banking App.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Bank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, ciri baharu itu dijangka diperkenalkan dalam tempoh enam bulan selepas aplikasi baharu itu dilancarkan yang mana ia adalah usaha untuk memperkukuh platform digital bank itu.

Beliau berkata, buat masa ini, pelanggan diberi peluang untuk memuat turun aplikasi berkenaan yang menyediakan perkhidmatan lebih cekap dan lancar kepada empat juta pelanggan RHB Bank.

“Menerusi aplikasi perbankan mudah alih yang baru ini, kami mahu membantu mewujudkan pelanggan untuk menjadi lebih aktif di platform perbankan digital.

“Kami memperkenalkan beberapa ciri terkini seperti pembayaran sekali sentuh yang mana pembayaran atau pemindahan berjumlah RM500 dan ke bawah tanpa perlu log masuk dan banyak lagi fungsi baru.

“Selepas enam bulan, kami berharap dapat menawarkan ciri seperti e-dompet sebagai kemudahan kepada pengguna setia kami,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran aplikasi itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Antara ciri yang ditawarkan oleh aplikasi itu termasuklah paparan mesra pengguna, semakan baki, transaksi terkini dan jejak akaun, tunggakan pembayaran dan maklumat lain.

Pengguna juga boleh melakukan pembayaran bil, tambah nilai, pemindahan antara bank serta fungsi DuitNow.

Khairussaleh berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk meningkatkan pengguna perbankan mudah alih bank itu menjadi kepada satu juta pengguna aktif pada hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 6:54 PM