Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar (lima kiri) bersama Pengerusi Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd, Michael Yam Kong Choy (empat kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin (empat kanan) pada Majlis Pelancaran Semula Jenama Eraman. FOTO Luqman Hakim Zubir
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar (lima kiri) bersama Pengerusi Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd, Michael Yam Kong Choy (empat kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin (empat kanan) pada Majlis Pelancaran Semula Jenama Eraman. FOTO Luqman Hakim Zubir
Nabil Basaruddin


USAHA penjenamaan semula Eraman, produk di bawah Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd mampu memperkukuh dan meletakkan jenama berkenaan sebagai pemain runcit utama lapangan terbang di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, langkah itu juga memainkan peranan penting dalam memberi ruang kepada jenama itu dalam meneroka peluang baharu dalam segmen itu.

Beliau berkata, penjenamaan semula Eraman merangkumi penukaran logo, cogan kata, pakaian seragam, susun atur stor dan serta penawaran di semua gedungnya.

Menurutnya, selepas beroperasi selama 25 tahun, jenama itu diberi nafas baharu sebagai pemangkin untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa ke Malaysia.

“Jualan setiap penumpang (SSP) bagi lapangan terbang syarikat pada tahun lalu berada pada kadar RM27.80 dengan jumlah tertinggi dicatatkan bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ialah RM37.50.

“Bagaimanapun, KLIA masih lagi ketinggalan berbanding lapangan terbang lain di rantau ini yang dilihat mencapai kadar dua atau tiga kali ganda lebih tinggi meskipun mempunyai ruang niaga sama atau lebih kecil,” katanya pada Majlis Pelancaran Semula Jenama Eraman yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar di sini, semalam.

Penjenamaan semula itu turut meliputi penambahbaikan serta pembesaran kedai runcit selain premis makanan dan minumannya (F&B) di premis Eraman.

Antara lapangan terbang yang terbabit adalah lima lapangan terbang antarabangsa iaitu di Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan Langkawi serta Labuan bagi segmen domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 4:22 PM