Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie (dua dari kanan) dan Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco Malaysia, Azliza Baizura Azmel (dua dari kiri) menunjukkan kotak makanan amal Tesco pada Pelancaran Bulan Bermakna Tesco 2019 di Tesco Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Siraj Mohd Zaini


MENJELANG Ramadan dan Syawal depan, Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco Malaysia) melancarkan kempen Bulan Bermakna yang menawarkan produk berkhasiat kepada umat Islam pada harga berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Paul Ritchie berkata, kempen berkenaan memberi fokus kepada 10 produk tertentu seperti kurma, kismis, susu, tembikai, anggur, delima dan barli yang kebanyakannya menjadi keperluan umat Islam sepanjang bulan Ramadan.

Menurutnya, semua produk itu boleh didapati dengan tawaran harga menarik di semua pasar raya Tesco di seluruh negara.

“Bulan Ramadan adalah bulan yang memberi manfaat kepada pelanggan kami, jadi adalah penting bagi kami menyediakan pelbagai produk berkhasiat bagi memberi tenaga kepada mereka.

“Berkunjunglah ke Tesco kerana pelbagai produk makanan berkualiti disediakan sepanjang bulan Ramadan dan Syawal ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran kempen Bulan Bermakna di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Komunikasi Korporat Tesco Malaysia, Azliza Azmel.

Pada majlis itu, Tesco Malaysia turut menjalinkan kerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi menyalurkan bantuan kepada keluarga miskin di ibu negara melalui Wakalah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kolaborasi berkenaan adalah bagi membantu keluarga miskin bandar dari sumbangan zakat yang dicarum oleh kakitangan Tesco.

“Menerusi dana ini, Tesco dan PPZ-MAIWP akan bersama-sama mengagihkan dana kepada mereka yang memerlukan.

“Selain itu, kami akan bekerjasama dengan Tesco untuk membantu penerima zakat kami untuk mendapatkan peluang pekerjaan di beberapa pasar raya Tesco di sekitar kawasan KL-Lembah Klang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 4:40 PM