LIM (dua dari kanan) melawat pameran hartanah selepas Majlis Perasmian HOC-MAPEX 2019, di Mid Valley, Kuala Lumpur. FOTO: Rosela Ismail
Sri Ayu Kartika Amri


PERSATUAN Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) yakin lebih banyak unit kediaman akan terjual menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) apabila setakat ini sebanyak RM9.2 bilion projek telah berjaya didaftarkan di bawah HOC yang membabitkan 13,000 unit kediaman.

Presiden REHDA, Datuk Soam Heng Choon berkata, pihaknya percaya dengan penganjuran Kempen Pemilikan Rumah-Ekspo Hartanah Malaysia 2019 (HOC-MAPEX) bermula hari ini hingga 28 April ini juga akan menyumbang kepada peningkatan unit kediaman dijual.

Katanya, selain itu pemaju juga giat menjalankan promosi dan menawarkan insentif menarik kepada pembeli.

“REHDA optimis sasaran jualan sebanyak RM3 bilion yang ditetapkan sepanjang HOC berlangsung dari Januari hingga Jun ini dapat dicapai.

“Kita berharap daripada RM9.2 bilion yang telah direkodkan ini lebih banyak pinjaman pembeli akan diluluskan.

“Malah, bagi pihak REHDA pula disamping penawaran 10 peratus diskaun oleh pemaju, kami turut menawarkan rebat tunai berjumlah RM100,000 kepada 50 pembeli terawal,” katanya kepada media selepas pelancaran HOC-MAPEX 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir merasmikan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sempena HOC-MAPEX 2019, sebanyak 72 pemaju hartanah swasta akan mempamerkan pembangunan hartanah masing-masing yang bukan saja terletak di sekitar Lembah Klang malah di seluruh negara seperti Johor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Pulau Pinang.

Ekspo ini juga menyaksikan pembabitan tujuh institusi kewangan termasuk Maybank, CIMB Bank, Hong Leong Investment Bank, Public Bank, RHB Bank dan United Overseas Bank yang menyediakan serta menawarkan pinjaman perumahan kepada bakal pembeli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 6:34 PM