X
PELAN penggantian babit dua aset utama iaitu BHS dan KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PELAN penggantian babit dua aset utama iaitu BHS dan KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mahanum Abdul Aziz


SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan melaksanakan pelan penggantian asetnya secara besar-besaran tahun ini bagi memantapkan lagi perkhidmatannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pelan penggantian aset itu membabitkan dua aset utamanya iaitu Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) dan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, aset berkenaan sudah lama dan berusia lebih 20 tahun yang mana ia perlu dipertingkatkan.

“Kami akan melaksanakan pelan penggantian aset dan tender akan dikeluarkan separuh kedua tahun ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) MAHB di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi MAHB Tan Sri Zainun Ali.

Raja Azmi berkata, MAHB turut meninjau untuk menarik kemasukan penerbangan dari Asia Barat dan China ke lokasi baharu di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu adalah sejajar dengan usahanya untuk meningkatkan jumlah penumpang udara ke negara ini.

“Kami meninjau untuk menarik kemasukan penerbangan Asia Barat dan China ke lokasi baharu di negara ini. Kami akan mengumumkannya apabila tiba masanya,” katanya.

Rangkaian lapangan terbang MAHB termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SGAH), mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus kepada 33.4 juta pergerakan penumpang bagi suku pertama tahun ini.

Sektor antarabangsa mencatatkan pertumbuhan 3.4 peratus, dengan 16.1 juta pergerakan penumpang pada suku dikaji, manakala sektor domestik meningkat empat peratus dengan 17.4 juta pergerakan penumpang.

Mengulas mengenai impak levi pelepasan udara yang akan diperkenalkan kerajaan, Raja Azmi berkata, pelaksanaan levi itu dijangka tidak akan menjejaskan pertumbuhan trafik penumpang di lapangan terbang yang di kendalikannya di negara ini.

Beliau berkata, ia berikutan caj yang dikenakan di lapangan terbang negara ini adalah rendah berbanding lapangan terbang lain di rantau ini.

Katanya, MAHB yakin kutipan levi itu akan menyumbang secara ketara kepada industri perlancongan dan penerbangan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 7:24 AM
Digital NSTP Subscribe