DARI kiri Zainal, Cherian, Darell, Michael dan Fitri pada pelancaran hab penyelesaian awan Oracle, semalam.
DARI kiri Zainal, Cherian, Darell, Michael dan Fitri pada pelancaran hab penyelesaian awan Oracle, semalam.
Hazwan Faisal Mohamad


KUALA LUMPUR: Malaysia masih menjadi destinasi pilihan pelabur di rantau ini untuk melabur dan membuka hab operasi serta pejabat biarpun prestasi ekonomi yang agak perlahan ketika ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, di sebalik keadaan ekonomi negara pada masa ini, Malaysia masih menjadi pilihan syarikat antarabangsa seperti Oracle yang membuka hab penyelesaian awan di Kuala Lumpur untuk operasinya di Asia Pasifik.

Katanya, masih ada banyak syarikat lain yang turut mengumumkan pelaburan mereka dari Malaysia dan ini termasuk memindahkan operasi dari negara yang mempunyai kos ekonomi yang tinggi ke negara yang sederhana kos ekonominya seperti Malaysia.

“Saya tidak mahu mengatakan yang ekonomi negara kita menurun, (tetapi) ekonomi kita sebenarnya adalah stabil dibandingkan dengan banyak negara lain di rantau ini. Namun, jangan bimbang kerana kerajaan dan sektor swasta akan terus bekerjasama bagi memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang.

“Bagi Malaysia, saya tidak fikir (ekonomi negara) menjadi isu kepada pelabur, apa yang mereka mahu lihat ialah asas yang kita ada. Saya percaya, asas yang kerajaan sedang dan akan terus wujudkan dan semua ekosistem yang kita ada dari sektor swasta serta kerajaan akan memberi keyakinan kepada pelaburan baharu dan pelaburan semula oleh pelabur semasa,” katanya pada sidang media selepas pelancaran hab penyelesaian awan Oracle, semalam.

Hadir sama, Pengerusi InvestKL, Datuk Seri Michael Yam, Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Zainal Amanshah, Pengarah Urusan Serantau Oracle di ASEAN dan SAGE, Cherian Varghese dan Pengarah Urusan Oracle Malaysia Corporation Sdn Bhd, Fitri Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 7:42 AM