CHEW (kiri) bersama Ong (tengah) melancarkan tawaran Internet tanpa had Celcom Xpax di Menara Celcom PJ. FOTO Rohanis Shukri
Nasuha Badrul Huzaini


PETALING JAYA: Celcom Axiata Bhd (Celcom Axiata) melancarkan tawaran terbaharu bagi Internet tanpa had, Ultra Hour Pass khas buat pelanggan Celcom Xpax.

Menerusi tawaran berkenaan, pelanggan Celcom Xpax kini boleh menikmati sebarang kandungan Internet pada harga serendah RM1 untuk sejam.

Pelanggan juga mempunyai pilihan untuk Ultra Hour Pass bagi tempoh tiga jam (RM2), 12 jam (RM5) atau 24 jam pada harga RM8.

Ketua Produk dan Inovasinya, Roy Ong berkata, tawaran inovatif itu mampu memberikan kegembiraan pelayaran Internet dengan fleksibiliti untuk memiliki akses Internet berkelajuan tinggi pada bila-bila masa dan di mana saja mereka berada.

“Dengan hanya RM1, pelanggan boleh menikmati satu jam Internet tanpa had dan akses kepada informasi serta hiburan digital mengikut kemudahan mereka.

“Tawaran ini sempurna untuk pelanggan yang tidak mahu menggunakan kuota data yang mereka ada ketika menstrim video berdefinisi tinggi (HD) di peranti mereka.

“Sebagai contoh, jika pelanggan Celcom Xpax mempunyai masa terluang selama dua jam dan ingin menonton filem berkualiti HD selama dua jam, mereka boleh mengakses dan menikmati Internet tanpa had selama tiga jam hanya RM2,” katanya pada majlis pelancaran tawaran baharu itu di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengguna dan Perniagaan Rumah Celcom Axiata, Danny Chew.

Pelanggan Celcom Xpax boleh menikmati Ultra Hour Pass dengan log masuk ke aplikasi Celcom Life dan memilih ciri Buy More untuk lebih banyak Internet.

Ong berkata, pihaknya menjangka 2019 sebagai tahun sibuk termasuk cadangan pelancaran produk sepanjang tahun.

Katanya, hingga kini syarikat telekomunikasi itu sudah melancarkan 10 produk sejak suku pertama tahun ini.

“Ada banyak yang akan kami lakukan dan tumpuan kini kepada perkara utama yang memberi impak kepada pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 7:25 AM