NOR SHAMSIAH. FOTO Aizuddin Saad
NOR SHAMSIAH. FOTO Aizuddin Saad
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memberi tumpuan terhadap inisiatif pembangunan bagi memantapkan lagi pasaran kewangan di negara ini.

Gabenornya, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha BNM untuk meningkatkan kecekapan pasaran, aksesibiliti dan kecairan dalam pasaran kewangan domestik, sementara memelihara pasaran kewangan dalam negeri yang teratur dan telus.

Katanya, BNM juga aktif menyertai pasaran yang berkaitan bagi mempromosikan persekitaran pasaran kondusif yang mampu menyokong aktiviti ekonomi domestik.

Antara enam inisiatif yang diperkenalkan oleh BNM adalah menambahbaik pasaran Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), meningkatkan kecairan dan fleksibiliti pasaran pembelian balik (repo), meluaskan penyertaan dalam program lindung nilai dinamik, menguruskan risiko pasaran tukaran asing (FX), mempermudah dagangan FX serta proses dokumentasi dan meningkatkan kecairan ringgit melangkaui waktu dagangan tempatan.

“BNM akan segera membuka program lindung nilai dinamik bagi pihak pelanggan bank amanah dan global.

“Lindung nilai dinamik ini adalah sama dengan lindung nilai pada pasaran kontrak hadapan tidak boleh diserah (NDF) yang hanya terdapat di pasaran domestik dan ia lebih telus berbanding pasaran NDF luar pesisir,” katanya kepada pemberita di taklimat prestasi ekonomi suku pertama 2019 di sini, semalam.

Menurutnya, untuk memudahkan pengurusan risiko tukaran asing dengan mengambil kira profil pelaburan institusi, pelabur institusi berdaftar boleh memasuki kontrak hadapan untuk membeli ringgit melebihi 25 peratus daripada jumlah aset asas semasa diluluskan oleh BNM.

Beliau berkata, panduan dokumentasi standard untuk urus niaga tukaran asing telah dibangunkan oleh industri dan akan diedarkan melalui Persatuan Bank Malaysia (ABM) untuk rujukan oleh peserta pasaran.

“Untuk terus membangunkan platform lindung nilai yang efektif untuk pelabur, BNM dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bursa Malaysia dan peserta pasaran utama, akan terus meningkatkan mekanisme penghantaran untuk penempatan niaga hadapan MGS.

“Kami berharap dapat melaksanakannya (peningkatan MGS niaga hadapan) menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 8:41 AM