GOOGLE sudah mengeluarkan Huawei Mate X dari senarai yang mempunyai ciri 5G dan P30 Pro dari kategori kamera utama. FOTO AFP
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Pengasas Huawei Technologies Co Ltd (Huawei), Ren Zhengfei akan menentang sebarang langkah yang dilakukan oleh China terhadap syarikat iPhone meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan sekatan teknologi ke atas Huawei.

Menurut Huawei Central, dalam temu bual baru-baru ini dengan Bloomberg, apabila ditanya mengenai tindakan balas China terhadap Apple, Ren menjawab beliau akan membantah sebarang tindakan sedemikian.

“Tindakan sama terhadap syarikat iPhone iaitu Apple tidak akan berlaku sama sekali dan sekiranya ia terjadi, saya akan menjadi individu pertama yang memprotes,” katanya.

Selain itu, walaupun Google meneruskan perkhidmatannya ke Huawei untuk 90 hari namun syarikat itu sudah mengeluarkan Huawei Mate 20 Pro dari program Android Q beta dan kini turut mengeluarkan peranti Huawei lain dari senarai di laman webnya.

Berdasarkan laman web rasmi Android, Google mengeluarkan Huawei Mate X dari senarai yang mempunyai ciri 5G dan P30 Pro dari kategori kamera utama.

Sementara itu, Samsung Electronics Co Ltd (Samsung) dilihat berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran telefon pintar dunia berikutan tekanan AS ke atas Huawei, demikian menurut Fitch Ratings.

Syarikat teknologi, termasuk Google dan ARM, pereka cip yang dimiliki SoftBank Group berkata, mereka juga akan menghentikan membekal kepada Huawei.

Fitch Ratings berkata, kehilangan akses kepada sistem android Google mungkin menjejaskan jualan telefon pintar Huawei di luar China, sekali gus memberi Samsung kesempatan untuk meningkatkan perkongsian pasarannya.

Agensi penarafan itu juga berkata, syarikat pengeluar iPhone, Apple Inc, berkemungkinan menjadi satu lagi mangsa ketegangan perdagangan antara Beijing dan Washington yang akan mempercepat ia kehilangan perkongsian pasaran di China.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 8:11 AM