PETRONAS Dagangan Berhad.
PETRONAS Dagangan Berhad.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) akan terus berhati-hati terhadap ketidaktentuan harga minyak mentah dan memastikan ia kekal cekap dalam menguruskan inventorinya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkata, syarikat akan menumpukan pengukuhan rangkaian dan pengurusan pengedarannya.

“Kami juga akan terus memanfaatkan produk unggul yang baru dilancarkan serta mempergiat usaha pendigitalan dan pemasaran serta menambah baik perkhidmatan untuk memberi pengalaman lancar kepada pelanggan secara konsisten.

“Bagaimanapun, kami akan sentiasa berhati-hati dengan ketidaktentuan harga minyak mentah semasa supaya syarikat menjadi lebih cekap pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pada masa sama, PDB mencatatkan keuntungan bersih yang meningkat satu pertiga kepada RM291.2 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019 disokong oleh margin lebih baik dalam perniagaan runcit dan komersial.

Menurut syarikat itu, perolehan turut meningkat kepada RM7.09 bilion daripada RM7.07 bilion pada tempoh sama yang didorong oleh peningkatan sebanyak tiga peratus dalam jumlah jualan.

Selain itu, keuntungan sebelum cukai bagi segmen runcit melonjak 36 peratus tahun ke tahun kepada RM226.4 juta manakala keuntungan sebelum cukai perniagaan komersial meningkat 22 peratus kepada RM145.7 juta.

Prestasi runcit itu disumbangkan oleh margin lebih tinggi bagi gasolin motor dan diesel susulan peningkatan aliran harga di Mean of Platts Singapore yang menjadi penanda aras.

Malah, pertumbuhan jumlah jualan sebanyak lapan peratus tahun ke tahun dalam segmen runcit dipacu oleh pengeluaran stesen lebih baik dan penambahan jumlah stesen yang beroperasi semasa suku pertama 2019.

Sementara itu, untuk segmen komersial, keuntungan kasar melonjak 25 peratus dan jumlah jualan meningkat di semua kategori Jet A1, diesel dan bitumen manakala perniagaan gas petroleum cecair dan pelincir mengalami penurunan keuntungan dan jumlah jualan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 7:46 AM
Digital NSTP Subscribe