7-ELEVEN yakin tingkat prestasi kewangan.
7-ELEVEN yakin tingkat prestasi kewangan.
hmdigital

KUALA LUMPUR: 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven Malaysia) akan terus menyegarkan jenama 7-Eleven dalam minda pelanggan melalui kedai yang segar, inovasi dalam harga, promosi dan membangunkan produk menarik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Colin Harvey berkata, pihaknya menjangkakan suku tahun akan datang masih berada dalam situasi mencabar.

“Bagaimanapun, kami terus memberi tumpuan kepada keperluan pelanggan, meneruskan teras strategi utama kecemerlangan operasi, pengurusan kos dan inovasi komersial,” katanya.

Menurutnya, 7-Eleven melihat banyak peluang untuk peningkatan dan yakin hala tuju strategik kumpulan bagi memperkukuh bidang utama membabitkan kepelbagaian, rantaian bekalan, kecemerlangan operasi, asas kedai termasuk pendigitalan akan mendatangkan hasil.

“Kami yakin dapat meningkatkan prestasi dari segi kewangan dan pengalaman pelanggan secara keseluruhan.

“Kami juga akan terus bersedia menghadapi cabaran mendatang dalam memastikan 7-Eleven kekal menjadi kedai serbaneka pilihan pertama di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Bagi suku pertama 2019 yang berakhir 31 Mac 2019, 7-Eleven mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak 24.9 peratus atau RM2.2 juta kepada RM11.2 juta berbanding RM8.93 juta dalam tempoh sama tahun sebelum ini.

Pendapatan kumpulan pula meningkat kepada RM583.73 juta daripada RM535.69 juta didorong pertumbuhan cawangan baharu, purata belanja lebih tinggi oleh setiap pelanggan dan aktiviti promosi pengguna yang lebih baik.

Keputusan suku pertama 2019 yang mantap mencerminkan pertumbuhan sebanyak sembilan peratus dan dirangsang oleh pemulihan pertumbuhan jualan dalam gedung yang sama kepada 6.1 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 8:46 AM