ZAMZAMZAIRANI (tengah) bersama Mohamed Rastam (kiri) dan Wong pada AGM ke-11 UEM Sunrise.
Nabil Basaruddin


PETALING JAYA: Pemaju hartanah terkemuka, UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) setakat ini mencatatkan kadar jualan dan tempahan sebanyak 70 peratus bagi produk hartanahnya pada Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang diadakan sejak Januari dan berakhir pada Jun depan.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Kenny Wong Koon Keng berkata, sejak HOC dilancarkan pihaknya meletakkan sasaran untuk menjual 235 unit produk rumah kediaman kepada orang ramai.

Beliau berkata, penyertaan dalam HOC memberi banyak peluang kepada syarikat hartanah untuk untuk menghabiskan stok hartanah yang masih tidak terjual dan juga produk baharu dilancarkan.

“Pelaksanaan kempen HOC oleh Kerajaan adalah begitu memberangsangkan kerana ia memberi manfaat kepada peserta industri dalam kalangan syarikat hartanah untuk menjual produk hartanah mereka.

“Setakat ini, UEM Sunrise berjaya mencatatkan jualan dan tempahan sehingga 70 peratus daripada jumlah yang disasarkan dan bagi kami ia adalah pencapaian yang baik,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-11 UEM Sunrise, semalam.

Hadir sama Pengerusi UEM Sunrise, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa dan Ketua Pegawai Kewangannya, Mohamed Rastam Shahrom.

UEM Sunrise mencatatkan keputusan kewangan yang memberangsangkan bagi tahun kewangan 2018 dengan peningkatan 10 peratus perolehan kepada RM2.04 bilion.

Selain itu, jualan hartanah syarikat itu turut melepasi sasaran RM1.2 bilion kepada RM1.4 bilion sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan lebih baik.

Zamzamzairani berkata, sektor hartanah dijangka kekal mencabar menjadikan syarikat hartanah itu akan lebih berhati-hati serta memilih bagi pelancaran produk baharu.

Katanya, meskipun persekitaran pasaran hartanah terus tidak menentu, pihaknya mengambil sisi positif dan meninjau peluang yang muncul dalam menawarkan produk berkualiti dengan nilai kepada pelanggan.

“Kami akan terus mengekalkan fokus semasa syarikat bagi pasaran pembangunan rumah bertanah pertengahan di beberapa lokasi strategik bertepatan dengan permintaan,” katanya.

Sementara itu, setakat ini nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek yang telah dilancarkan oleh UEM Sunrise berjumlah RM160 juta dan jualan belum dibilkan adalah sebanyak RM4.1 bilion pada 31 Mac 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 9:17 AM