PENGGUNA melakukan pembelian dengan menggunakan aplikasi e-Wallet Boost daripada telefon pintar.
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: E-wallet atau dompet digital kini dilihat semakin popular dalam kalangan pengguna di negara ini yang mana ia menyaksikan teknologi itu mengubah cara pengguna melakukan pembayaran untuk produk dan perkhidmatan sama ada secara dalam dan luar talian.

Perkembangan positif bagi teknologi pembayaran tanpa tunai itu didapati berlaku amat pantas dengan kadar penggunaan melebihi dua digit pada setiap tahun di mana generasi milenial antara kumpulan pengguna utama sama seperti di negara lain.

Penganalisis Ekonomi dan Kewangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, industri dompet digital kini menjadi pemacu kepada ekonomi digital negara dengan perubahan infrastruktur digital negara menyumbang kepada perkembangan pesat industri terbabit.

“Sudah tentu ekosistem dompet digital kini masih belum lengkap namun ia sedang berubah secara pesat dan dinamik sekali,” katanya.

Dompet digital merujuk kepada peralatan elektronik atau perkhidmatan dalam talian yang membenarkan individu melakukan transaksi elektronik bagi pembelian produk atau perkhidmatan dengan menggunakan duit elektronik (e-money).

Beliau berkata, pada masa ini 42 jenis dompet digital diluluskan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan lima daripada institusi perbankan di negara ini manakala yang lain terdiri daripada organisasi bukan bank atau syarikat kewangan.

“Jumlah dompet digital ini jelas menunjukkan industri itu sangat berpotensi dengan pelbagai pihak membuat pelaburan yang banyak bagi memastikan mereka mendapat keuntungan daripada perkembangannya,” katanya.

Antara dompet digital yang popular di negara ini adalah Boost, Grabpay dan Touch N Go di samping beberapa lagi jenama seperti WechatPay, Alipay, Maybank Pay, Samsung Pay dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 7:15 AM