ZALORA bantu penyertaan pemain baharu setiap minggu.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Plaform e-dagang Asia Tenggara, Zalora menyasarkan terus mengekalkan kedudukan sebagai penggiat utama fesyen di rantau ini.

Ketua Pegawai Komersial Zalora, Giulio Xiloyannis berkata, daripada enam pasaran yang disertainya, tiga negara membuktikan perkembangannya termasuk Indonesia yang memaparkan potensi serta saiz pengguna yang ramai dan Filipina dari segi pertumbuhan kukuh serta pelanggan setia.

Untuk pasaran Malaysia, beliau berkata, negara ini menyediakan kelompok perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang cemerlang dan menjadi pembekal fesyen kepada Zalora terutama gaya fesyen sederhana.

Syarikat itu bekerjasama dengan barisan pekerja berbakat di Malaysia dalam usaha mengekalkan Kuala Lumpur sebagai hab global dan serantau Zalora.

“Hab e-penunaian kami berpangkalan di Malaysia dan ini mampu melaksanakan penghantaran kepada pelanggan dalam tempoh 24-72 jam.

“Kami turut mengendalikan dua gudang kecil di Jakarta dan Manila yang bekerjasama dengan jenama tempatan masing-masing serta barangan tempatan dan gudang yang turut ditampung gudang di Kuala Lumpur,” katanya.

Mengulas lanjut, Xiloyannis berkata, Zalora mengendalikan pasukan penghantaran sendiri di Malaysia, Singapura, Jakarta dan Filipina bagi memastikan pelanggan mendapat khidmat terpantas menerusi jalinan kerjasama dengan lebih 30 penyedia penghantaran pihak ketiga di rantau ini.

Menurutnya, kewujudan Zalora membantu penyertaan pemain baharu setiap minggu dengan majoriti mahu menjadi pembekal kepada syarikat itu berbanding pesaing.– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 7:40 AM