RADZALI (kanan) bersama Timbalan Pengerusi MFA, Datuk Zahriah Abd Kadir dan Timbalan Pengerusi MFA 2, Deric Yeo melancarkan Anugerah Francais Malaysia 2019, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan sumbangan industri francais kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM35 bilion menjelang tahun hadapan berbanding RM32 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Radzali Hassan berkata, sasaran KDNK itu dijangka berjaya dicapai menerusi peningkatan pelbagai produk eksport ke pasaran luar negara.

“Kita mempunyai lebih kurang 66 produk yang telah dibawa keluar negara setakat hari ini. Kalau melihat kepada jumlah anggota MFA itu sendiri tidaklah begitu ramai tetapi dari segi pencapaian perkembangan perniagaan mereka, adalah sangat memberangsangkan di mana kita mempunyai kira-kira 4,200 kedai di luar negara,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga yakin industri francais tempatan masih mampu mencatatkan prestasi baik pada tahun ini meskipun dalam situasi ekonomi global tidak menentu pada ketika ini.

“Penilaian ini dibuat berdasarkan kepada peningkatan bagi transaksi jualan yang dicatatkan MFA melalui penganjuran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2019 (FIM2019) dan pertambahan bilangan ahli MFA,” katanya pada sidang media Anugerah Francais Malaysia (AFM), semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 7:15 AM