AZHAR (kanan) pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MSM kali ke-8, semalam.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) bakal terkesan khususnya dari segi pendapatan syarikat berikutan langkah kerajaan yang mengeluarkan lebih banyak Permit Import (AP) bagi mengimport gula pada harga lebih rendah dari negara pengeluar seperti Thailand.

Pengerusinya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, sebagai syarikat pengeluar gula terbesar di dunia, pihaknya berharap kerajaan dapat mengkaji semula AP yang diberikan kepada pemain industri di negara ini sebelum ini.

Beliau berkata, apa yang menjadi kebimbangan kepada syarikat ketika ini adalah peningkatan syarikat penerima AP secara mendadak sekali gus memberi impak kepada pendapatan syarikat.

“Pengeluaran AP bukan saja mengganggu pasaran, malah ia juga tidak mengambil kira pelaburan berbilion ringgit yang telah dilaburkan dalam sektor pengeluaran gula tempatan.

“Sebagai pemain industri dalam sektor ini, kami telah membelanjakan sekitar RM1.1 bilion bagi kilang pengeluaran gula di Johor dan perkara sedemikian mampu menjejaskan syarikat.

“Jadi, kami berharap kerajaan dapat mengkaji semula isu membabitkan pengeluaran AP, dengan mengambil kira usaha syarikat tempatan seperti MSM yang turut menyediakan ribuan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MSM kali ke-8, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd (FGV), Datuk Haris Fadzilah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 7:30 AM